Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk Kg Sungai Baru tegaskan tanah bukan Tanah Rizab Melayu

Sep 22, 2025 | 3:40 PM
Persatuan Kebajikan Pemilik Harta Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur mendesak pembangunan kampung berkenaan segera dilaksanakan selepas tergendala kerana desakan golongan minoriti yang mahu pembangunan dihentikan sehingga beberapa isu berbangkit diselesaikan.
Persatuan Kebajikan Pemilik Harta Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur mendesak pembangunan kampung berkenaan segera dilaksanakan selepas tergendala kerana desakan golongan minoriti yang mahu pembangunan dihentikan sehingga beberapa isu berbangkit diselesaikan. - Foto MALAYSIAKINI

KUALA LUMPUR: Isu mengenai pembangunan Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur terus hangat apabila Persatuan Kebajikan Pemilik Harta Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur menegaskan tanah di kawasan berkenaan bukan berstatus Tanah Rizab Melayu seperti yang didakwa pelbagai pihak.

Pengerusinya, Cik Sanita Yunus, berkata perkara itu terbukti melalui perjanjian jual beli antara pemilik rumah dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sejak 1971.

Katanya, rumah yang dibeli mereka juga berstatus pajakan selama 99 tahun dan bukannya hak milik kekal.

“Kami ingin menegaskan bahawa Kampung Sungai Baru adalah tanah pusaka sejak generasi terdahulu dan usaha untuk memajukan kawasan ini digerakkan oleh penduduk sendiri dengan kerjasama pemaju yang dipilih secara telus,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur pada 21 September, yang turut dihadiri lebih 50 penduduk yang bersetuju dengan projek pembangunan itu, lapor Malaysiakini.

Cik Sanita berkata demikian sebagai mengulas pelbagai kenyataan di media sosial yang mendakwa tanah di Kampung Sungai Baru berstatus Tanah Rizab Melayu atau Malay Agricultural Settlement (MAS).

Penduduk terbabit mendesak supaya pembangunan yang telah dirancang segera dilaksanakan dan tidak ditangguh lagi.

Isu tanah di kampung terbabit menjadi perhatian selepas bantahan penduduk yang tidak bersetuju dengan projek pembangunan semula.

Ketegangan meningkat apabila operasi pengosongan dijalankan buat kali kedua sejak Julai lalu, bagi mengusir penduduk mengikut perintah mahkamah.

Arahan itu dikeluarkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula oleh KL City Gateway Sdn Bhd yang terletak berhampiran Kampung Baru.

Majoriti penduduk bagaimanapun telah berpindah selepas menerima tawaran pampasan daripada syarikat tersebut.

Pada sidang media sama, Cik Sanita turut mendedahkan terdapat keluarga bukan Melayu yang juga pemilik rumah di kawasan tersebut.

“Tetapi mereka tidak dapat hadir hari ini kerana berada di luar negara. Jadi tak patut nak keluarkan kenyataan-kenyataan perkauman,” tegasnya.

Cik Sanita juga menafikan dakwaan pemaju projek berkenaan berasal dari Singapura.

“Sebaliknya, pemilik syarikat berkenaan merupakan orang dari Klang, Selangor. Jadi tidak betul sama sekali apabila dikatakan pemaju orang Singapura, boleh semak dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” jelasnya lagi.

Pada 18 September lalu, Ahli Parlimen (AP) Titiwangsa (Kuala Lumpur), Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata tanah di Kampung Sungai Baru adalah hak orang Melayu.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, berkata tanah itu adalah hak milik kaum berkenaan yang dikurniakan oleh Sultan Selangor pada zaman British.

Namun, katanya kesilapan berlaku antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang mana tanah berkenaan tidak digazetkan ketika itu, sehingga berlakunya pertukaran pemilik dan diberikan kepada MAS.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg