Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenduduk Melaka keluar undi awal pagi
Hari mengundi juga jadi ‘reunion’ buat sesetengah penduduk
Penduduk Melaka keluar undi awal pagi
Semangat pengundi di Melaka untuk menjadi yang terawal mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November terserlah, apabila orang ramai mula beratur sejam sebelum waktu mengundi bermula pada 8 pagi di beberapa pusat mengundi.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bersama isterinya, Datin Seri Zuriyah Ab Aziz, turut menjadi antara pengundi terawal untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16. Mereka selesai mengundi pada 8.35 pagi.
Pengerusi BN Melaka itu, yang juga calon BN bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara buat penggal kedua, mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka.
Usai mengundi, beliau turut meluangkan masa menyantuni pengundi yang menunggu giliran di pusat pengundian sama.
“Kita sama-sama tunaikan tanggungjawab kita hari ini (14 November). Terima kasih banyak-banyak semua,” kata Datuk Rauf.
Pengundi pertama di pusat pengundian di SK Tanjung Bidara, Masjid Tanah, ialah Encik Khairul Anuar Hashim, 41 tahun, yang hadir pada 7 pagi.
“Hari mengundi adalah hari yang penting dan saya mahu jadi orang pertama mengundi. Selepas Subuh saya sudah bersiap sedia ke tempat mengundi,” kata beliau ketika ditemui Berita Harian (BH).
Walaupun berkerusi roda kerana masalah kesihatan, warga emas, Encik Marzuki Othman, 66 tahun, tetap bersemangat hadir awal ke pusat pengundian itu pada 7.30 pagi bersama anaknya.
Beliau teruja untuk mengundi kerana mahu memastikan parti disokongnya mengekalkan penguasaan di PRN Melaka kali ini.
“Pilihan raya sama seperti hari raya, buat kita teruja, malah lebih teruja kerana pilihan raya hanya empat ke lima tahun sekali.
“Semangat ini kita perlu tunjukkan pada masyarakat terutama orang muda kerana memilih pemimpin ini tanggungjawab besar dan kita nak pilih yang terbaik. Kalau datang lambat macam tak semangat,” katanya.
Pada usia 84 tahun dan keadaan kesihatan kurang mengizinkan, pagi hari mengundi dirasakan sungguh berbeza berbanding hari biasa buat Encik Bahari Siron.
Beliau bangun seawal 5 pagi, lebih awal daripada kebiasaan, dan menangguhkan sarapan sehingga selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 8.40 pagi.
Malah, beliau tidak dapat menahan sebak sehingga menitiskan air mata selepas selesai mengundi.
“Ini air mata tanda syukur dan gembira kerana masih berpeluang tunai tanggungjawab mengundi pada usia 84 tahun,” katanya yang datang ditemani isteri dan anak-anak yang turut mengundi pada PRN Melaka ini.
Ada pengundi yang bertemu orang tidak disangka di pusat mengundi.
Cik Nur Emysha Dayana Mohd Yunus, 27 tahun, yang datang mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Masjid Tanah, terkejut ketika bertemu bekas guru tuisyennya, Cik D Jaya, 64 tahun, di pusat pengundian itu.
Beliau datang mengundi bersama adiknya, Encik Muhammad Eryskandar Danish Mohd Yunus, 23 tahun, dan ibunya, Cik Norashidah Wahab, 53 tahun.
Kata Cik Nur Emysya, beliau tidak pernah bertemu guru berkenaan sejak menamatkan persekolahan, 10 tahun lalu.
“Gembira sangat kerana hari ini saya bukan saja dapat mengundi, malah dapat bertemu guru tuisyen lama kami selepas bertahun-tahun terputus hubungan. Rindu sangat pada Cikgu Jaya,” katanya.
Pada PRN Melaka ke-16, seramai 79 calon daripada pelbagai parti politik beradu nasib untuk merebut 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanding jumlah kerusi terbanyak iaitu 24 kerusi DUN; BN bertanding 23 kerusi; Parti Bersama Malaysia (16 kerusi) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (tujuh kerusi).
PN yang membentuk kerjasama pembahagian kerusi dengan BN pula bertanding di lima kerusi, sementara seorang calon dari Parti Bumiputera Perkasa Malaysia dan tiga lagi calon Bebas.
Sebanyak 240 pusat pengundian untuk PRN Melaka dibuka tepat 8 pagi pada 14 November di seluruh Melaka dan proses pengundian tamat pada 6 petang.
Setakat 3 petang 14 November, kemas kini papan pemuka (dashboard) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan peratusan keluar mengundi adalah 62.33 peratus.
Pada PRN 2021, BN yang bertanding solo ketika itu memenangi 21 kerusi DUN sekali gus membolehkannya membentuk Kerajaan Negeri.