‘Himpunan Turun Anwar’ yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 Julai bukanlah satu ancaman politik terhadap kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, ia merupakan satu isyarat penting atau wake-up call daripada rakyat, yang bergelut dengan isu kos sara hidup dan ekonomi semasa.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang juga Felow Penyelidik Ilham Centre, Encik Mujibu Abdul Muis, berkata himpunan itu tidak membawa ancaman langsung terhadap keutuhan Datuk Anwar dan Kerajaan Perpaduan yang kini memiliki majoriti selesa di Parlimen.
“Himpunan ini sebenarnya memperkasakan hak rakyat untuk bersuara dan berlangsung secara aman dan teratur.
“Kredit harus diberikan kepada Datuk Anwar kerana memberi ruang demokrasi untuk himpunan itu berlaku.
“Namun, meskipun himpunan itu tidak mencetuskan perubahan politik dan kedudukan kerajaan, ia wajar dijadikan penanda aras terhadap sentimen rakyat terutama ketika penggal pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini memasuki separuh penggal dan berbaki dua tahun setengah lagi sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berlangsung,” katanya kepada Berita Harian.
Justeru, Encik Mujibu menegaskan bahawa tumpuan utama kerajaan kini seharusnya diberikan kepada usaha menunaikan janji reformasi yang tertangguh serta menyelesaikan isu ekonomi rakyat.
“Ini peluang bagi kerajaan memperkukuh kredibiliti politik yang telah stabil dengan sokongan majoriti di Parlimen, terutama menjelang PRU-16 akan datang,” katanya.
Mengulas kemungkinan pembangkang membawa usul undi tidak percaya ke Parlimen, Encik Mujibu berpandangan perkara itu tidak akan berlaku atas beberapa faktor.
“Undi tidak percaya memerlukan keberanian politik yang tinggi dan dalam konteks sekarang, pembangkang pun tahu bahawa dengan majoriti kukuh yang dimiliki Datuk Anwar, usaha itu hampir mustahil berjaya.
“Dan dengan kenyataan terkini bahawa blok politik, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan bersama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk pilihan raya negeri Sabah tidak lama lagi, ini menguatkan lagi kedudukan kerajaan Datuk Anwar hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Anwar yang mengulas mengenai himpunan itu menerusi hantaran di Facebook rasminya berkata beliau sedia menerima teguran dan peringatan daripada rakyat, namun kesal kerana tiada isu pokok yang diketengahkan dalam himpunan itu.
“Saya tidak pernah mendakwa kerajaan ini sempurna. Tapi kita tidak sombong untuk membetulkan kelemahan. Apa yang kurang, akan kita baiki. Apa yang belum selesai, akan kita usahakan. Namun reformasi itu mesti dilaksanakan secara berfasa agar dapat diterima, difahami dan berkekalan.
“Ketua Pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainudin), pula dikatakan mahu membawa usul undi tidak percaya. Silakan. Ini negara demokrasi. Usul itu satu proses yang sah. Jika cukup jumlah, bawa saja ke Parlimen,” katanya.
Pada 23 Julai, iaitu tiga hari sebelum himpunan dianjurkan pembangkang, Datuk Anwar mengumumkan beberapa insentif bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat termasuk bantuan tunai RM100 ($30.30) untuk setiap warga berusia 18 tahun ke atas.
Selain itu beliau turut mengumumkan penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 untuk warga Malaysia, selepas penyasaran subsidi dilaksanakan kelak.
Penurunan harga petrol antara janji paling ditagih rakyat selepas PH menaiki takhta kerajaan.
Dianggarkan lebih 20,000 orang hadir ke himpunan yang kali pertama seumpamanya selepas Datuk Anwar yang juga Pengerusi PH dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) memimpin kerajaan sejak November 2022.
Ahli Parlimen (AP) PKR, Encik Hassan Karim, dalam hantaran di Facebook mengingatkan kerajaan pimpinan Datuk Anwar bahawa masih ada ruang untuk memperbaiki apa yang ‘bengkok’.
“Kita tidakkah terlalu buruk, tetapi kita juga tidaklah baik sangat.
“Masih ada masa untuk meluruskan yang bengkang-bengkok, kembalilah kita ke jalan benar, jika kita masih mencari kemenangan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg