Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan Anwar masih stabil jika 9 AP PKR pilih keluar parti

Masih miliki majoriti dua pertiga atau sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen
Jul 14, 2025 | 5:10 PM
Malaysia, Anwar Ibrahim, PKR, AP
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak akan tumbang jika sembilan Ahli Parlimen (AP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendedahkan kontroversi dalam badan kehakiman Malaysia, mengambil keputusan keluar parti. 

Datuk Anwar ketika ini masih mendapat sokongan penuh parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan terutama Umno-Barisan Nasional (BN), walau banyak desakan supaya Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu meletak jawatan.

Ia menyusuli krisis kepercayaan berikutan kemelut isu badan kehakiman yang berlarutan sehingga kini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilaporkan berkata PH yang mengetuai Kerajaan Perpaduan kini mempunyai 153 kerusi Parlimen dan sekiranya sembilan AP terbabit keluar parti, kerajaan Datuk Anwar masih memiliki majoriti dua pertiga atau sekurang-kurangnya 112 kerusi.

“Jika sembilan AP PKR mengumumkan keluar parti dan menjadi AP Bebas, kerajaan PH tetap utuh dan jawatan Datuk Anwar sebagai Perdana Menteri tidak terjejas,” kata Datuk Ahmad Maslan.

Bagaimanapun, sembilan AP PKR terbabit termasuk mantan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang mengetuai pendedahan kumpulan AP itu mengenai apa yang didakwa sebagai kepincangan dalam pelantikan jawatan hakim kanan Malaysia, mungkin berdepan tindakan disiplin parti.

Akar umbi PKR sudah membuat gesaan supaya parti menggantung keahlian sembilan AP terbabit yang membuat pendedahan terbuka sehingga menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan yang didakwa.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, dilapor berkata parti tersebut sedang mempertimbangkan gesaan daripada ahli parti itu, namun sebarang keputusan mengenainya hanya boleh dibuat dalam tempoh dua minggu lagi, selepas Majlis Pimpinan Pusat PKR bermesyuarat.

Namun, Datuk Rafizi mempertahankan tindakan beliau dan kumpulannya dalam mendesak ketelusan isu itu dan menjelaskan ia bukan sebarang bentuk sabotaj kepada PKR, tetapi berasaskan kebimbangan kesan isu itu kepada PH jika tidak diselesaikan secara telus dengan segera. 

Penganalisis politik, Dr Jazimin Zakaria, berkata kemelut kehakiman yang berlaku di Malaysia hari ini membayangkan krisis kepercayaan dan kewibawaan kerajaan yang perlu ditangani segera.

Beliau, yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara Kedah, berkata Datuk Anwar boleh membuktikan ketelusannya sebagai pejuang reformasi pentadbiran dan integriti dengan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kemelut yang sedang diperkatakan.

“Sebelum ini, PH melaungkan reformasi pentadbiran dan integriti, tetapi apabila ada dakwaan campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman, ini satu tamparan hebat kepada PH dan PKR. 

“Untuk menafikan perkara ini dengan mengaitkan ia sebagai satu strategi konspirasi musuh politik atau dakwaan palsu agak sukar kerana yang mendedahkan isu ini adalah orang dalam PKR sendiri. 

“Gesaan supaya Datuk Anwar bercuti atau meletak jawatan tidak berasas ketika Malaysia sedang bergelut melaksanakan pelbagai rancangan pembangunan dan mendepani cabaran global dalam ekonomi negara.

“Justeru, untuk menunjukkan keikhlasan atau prinsip ketelusan dalam pentadbiran, campur tangan SPRM untuk menyiasat konflik kehakiman ini akan memulihkan kepercayaan rakyat kepada Datuk Anwar dan kerajaan hari ini,” katanya kepada Berita Harian.

Konflik dalam badan kehakiman Malaysia itu bertambah panas apabila kerajaan dituntut memberi penjelasan berhubung dakwaan berlaku kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) mengenai pelantikan hakim kanan.

Ketua Polis Malaysia, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengesahkan perkara itu sedang disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Majlis Peguam Malaysia pula mengadakan himpunan pada 14 Julai mahu kerajaan segera menyelesaikan kemelut badan kehakiman negara.

Timbalan Presiden PKR, Cik Nurul Izzah Anwar, turut menghadiri perarakan dan himpunan itu.

“Gesaan supaya Datuk Anwar bercuti atau meletak jawatan tidak berasas ketika Malaysia sedang bergelut melaksanakan pelbagai rancangan pembangunan dan mendepani cabaran global dalam ekonomi negara. Justeru, untuk menunjukkan keikhlasan atau prinsip ketelusan dalam pentadbiran, campur tangan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyiasat konflik kehakiman ini akan memulihkan kepercayaan rakyat kepada Datuk Anwar dan kerajaan hari ini.”
Dr Jazimin Zakaria, penganalisis politik.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg