Di sebalik jeritan ‘Turun Anwar!’ yang bergema di ibu kota Kuala Lumpur pada 26 Julai, satu perkara lebih kuat daripada bunyi laungan demonstrasi itu sendiri ialah ‘perang angka’.
Penganjur iaitu blok pembangkang mendakwa himpunan yang digerakkan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia (PAS), sayap parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) itu, berjaya menarik ‘ratusan ribu’ peserta serata Malaysia.
Pembangkang sekali gus cuba menggambarkan seolah-olah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedang diasak daripada semua penjuru untuk meletak jawatan sebagai pemimpin nombor satu negara.
Namun, pihak polis dalam kenyataan rasmi pula menyatakan angka sebenar kehadiran hanya sekitar 20,000 orang. Bezanya bukan kecil, tetapi berpuluh kali ganda.
Namun, apakah signifikannya jumlah kehadiran peserta himpunan dengan sama ada pembangkang berjaya mencapai matlamat mahu menjatuhkan Datuk Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10?
Walaupun penganjur himpunan cenderung bermain dengan angka kehadiran, bagi penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, kejayaan sebenar himpunan itu harus diberikan kepada kerajaan.
Menurutnya, kerajaan pimpinan Datuk Anwar menunjukkan tahap demokrasi di Malaysia semakin matang.
“Kerajaan boleh diberi pujian kerana himpunan itu berlangsung aman, tanpa ada tunjuk perasaan, kecederaan mahupun kerosakan harta benda atau seperti apa yang berlaku di sesetengah negara luar sehingga menyebabkan kematian.
“Fakta bahawa kerajaan membenarkan himpunan itu berlangsung adalah satu kejayaan bagi pihak kerajaan dan pembangkang melakukannya dalam keadaan yang secara relatifnya tersusun.
“Ini petanda Malaysia menuju era demokrasi baru yang matang di mana kebebasan berhimpun sesuatu yang dijamin Perlembagaan Malaysia dan perkara itu dihormati kerajaan.
“Datuk Anwar menerima dengan tenang dan bersikap terbuka bahawa ada segelintir masyarakat Malaysia yang skeptikal dan tidak yakin dengan kepimpinannya.
“Namun dalam masa sama, beliau berjaya menyelesaikan konflik serantau seperti ketegangan berdarah Thailand dan Kemboja baru-baru ini. Ini contoh sikap negarawan yang perlu diterima baik oleh rakyat,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Profesor Dr Ahmad Fauzi turut berkata sudah tiba masanya masyarakat Malaysia menerima perubahan dalam masa depan politik negara itu, yang mungkin akan terus dibentuk secara gabungan dengan beberapa blok politik, seperti yang berlaku dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.
“Di negara Eropah khususnya, majoriti kerajaan dibentuk membabitkan beberapa blok politik. Ini sudah pasti menyebabkan perbezaan fikiran tertentu dalam fahaman politik, tetapi isu-isu ketidakfahaman dan kesatuan masih boleh ditangani menerusi rundingan,” katanya.
Pengamat politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, pula merumuskan jumlah kehadiran yang didakwa mencecah ratusan ribu oleh penganjur hanyalah ‘permainan politik’ pembangkang semata-mata.
“Kalau kita nak bergantung pada ‘perkiraan sampah’, maksud saya main petik angka, itu bukan cara matang menilai sentimen rakyat untuk menentukan sama ada matlamat himpunan itu berjaya atau tidak.
“Bagi saya ia cuma persepsi palsu untuk menggambarkan kononnya rakyat menyokong gerakan untuk mendesak Datuk Anwar meletak jawatan,” katanya kepada BH.
Beliau turut mempersoalkan mengapa pembangkang tidak menggunakan saluran Perlembagaan seperti Parlimen untuk menukar kerajaan jika mereka benar-benar ada sokongan majoriti.
“Mereka ini tidak faham. Hendak turunkan Perdana Menteri tidak boleh hanya dengan melaungkannya di jalanan.
“Gunalah saluran Parlimen atau tunggu saja pilihan raya. Tetapi nampaknya mereka hanya ada retorik, bukan kekuatan sebenar,” tegasnya.
Dr Mohammad Tawfiq turut menyentuh dualisme imej Datuk Anwar – dihormati sebagai pemimpin diplomatik di luar negara tetapi diasak oleh tekanan dalam negara, terutama di media sosial.
“Kita terlalu angkat suara yang tidak dominan di media sosial. Rujukan pembangkang terhadap sentimen rakyat dengan berpaksikan komen di media sosial adalah songsang.
“Sedangkan kejayaan seperti jadi orang tengah dalam konflik Thailand-Kemboja jelas membuktikan kepimpinan Datuk Anwar di peringkat serantau,” jelasnya.
Menurutnya, kebanyakan akaun media sosial yang menyebarkan sentimen negatif terhadap kerajaan adalah akaun palsu yang bertujuan menjatuhkan imej pemimpin negara.
Ditanya sama ada pengumuman beberapa insentif oleh Datuk Anwar sebelum himpunan diadakan – termasuk bantuan tunai RM100 ($30.3) kepada setiap warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas dan penurunan harga petrol RON95 selepas penyasaran subidi petrol dilaksanakan kelak – adalah antara kesan awal gerakan menjatuhkan Perdana Menteri, Dr Tawfiq, berkata:
“Perkara itu bukan semata-mata reaksi terhadap himpunan, tetapi hasil usaha berterusan sejak awal. Itu bukan hasil ‘tekanan’ pembangkang. Ia proses yang panjang untuk menyalurkan bantuan. Rakyat menilai dan akhirnya tak turun pun ke himpunan.
“Yang turun itu hanyalah penyokong tegar dari negeri-negeri ditadbir PN seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, sedangkan rakyat di Selangor, Melaka dan Kuala Lumpur contohnya tidak hirau pun perhimpunan itu,” katanya.
Meskipun liputan media antarabangsa terhadap himpunan itu agak meluas, Dr Tawfiq menegaskan ia tidak menjejas Malaysia.
“Malaysia sekarang pengerusi Asean. Kita juga tegas dalam isu antarabangsa seperti Palestin dan aktif menjalin hubungan dengan blok ekonomi Brics (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan). Dunia melihat Malaysia sebagai pemimpin berprinsip.
“Bagi saya, pencapaian terbesar Kerajaan Perpaduan hari ini bukan sekadar dalam diplomasi antarabangsa, tetapi kejayaan memelihara kestabilan politik domestik yang selama ini sering tergugat.
“Rakyat sudah bosan dengan politik perebutan kuasa. Kini mereka mula menghargai kestabilan dan perpaduan dan itu adalah asas kepada pemulihan ekonomi negara,” katanya.
Bagi penganalisis politik USM, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian pula, ‘Himpunan Turun Anwar’ barangkali membina momentum pembangkang, selepas hampir tiga tahun Pilihan Raya Umum (PRU) berlalu.
“Walaupun ada yang masih mengira berapa ramai yang hadir, yang penting adalah apakah matlamat himpunan sampai kepada penerima atau ia sekadar menjadi salah satu acara musuh politik Datuk Anwar?
“Datuk Anwar masih turun ke program dan berjumpa rakyat dan pemimpin seperti biasa tanpa merasa ada sebarang ugutan. Menurunkan Datuk Anwar tidak semudah pergi berdemonstrasi di jalanan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg