Pengamat: Kos sara hidup di Johor Bahru tinggi kerana bersempadankan S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengamat: Kos sara hidup di Johor Bahru tinggi kerana bersempadankan S’pura

Jan 23, 2026 | 5:13 PM

Pengamat: Kos sara hidup di Johor Bahru tinggi kerana bersempadankan S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kos Sara Hidup, Johor, Inflasi Johor 2026, Dolar Singapura vs Ringgit, Ekonomi Malaysia
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor Kampus Pasir Gudang, Cik Noranita Abdamia. - Foto ihsan UiTM JOHOR

Isu peningkatan kos sara hidup di Johor, khususnya di kawasan bandar dan sempadan, perlu dilihat secara lebih menyeluruh dan tidak hanya bersandarkan satu penunjuk semata-mata kerana realiti ekonomi negeri itu dipengaruhi faktor rentas sempadan yang bersifat luar kawalan kerajaan negeri.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor Kampus Pasir Gudang, Cik Noranita Abdamia, berkata kedudukan Johor yang bersempadan secara langsung dengan Singapura menjadikan negeri itu berada dalam keadaan yang unik berbanding negeri lain di Malaysia.

Keadaan itu, menurutnya, membuka peluang besar kepada Johor untuk menarik pelancong, pelabur serta menggerakkan ekonomi sempadan, namun pada masa sama mencetuskan cabaran tersendiri kepada kos sara hidup rakyat tempatan.

Berdasarkan maklumat terkini, kadar inflasi Johor bagi Disember 2025 kekal pada tahap sederhana dan terkawal, sekali gus mencerminkan asas ekonomi Johor yang kukuh serta bergerak secara mampan di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.

“Walaupun data dan penunjuk ekonomi penting dalam menilai tahap inflasi, kajian serta pemantauan yang berterusan perlu dilaksanakan supaya gambaran yang dipersembahkan benar-benar selari dengan keadaan sebenar di lapangan.

“Secara logik ekonomi dan berdasarkan pemerhatian empirikal, corak perbelanjaan di Johor memang dipengaruhi kehadiran rakyat Singapura, terutama apabila perbezaan kuasa beli dan nilai mata wang semakin ketara.

“Apabila dolar Singapura mengukuh berbanding ringgit, kuasa beli mereka di Johor meningkat dan mendorong lonjakan permintaan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Keadaan itu, jelasnya, menyebabkan peniaga menaikkan harga bukan semata-mata kerana peningkatan kos, sebaliknya kerana pengguna sanggup membayar pada paras lebih tinggi, khususnya bagi barangan keperluan, sewaan, perkhidmatan kesihatan dan hartanah.

Beliau turut menjelaskan bahawa tekanan harga itu tidak berlaku secara menyeluruh di seluruh Johor, sebaliknya tertumpu di kawasan tertentu seperti Johor Bahru, Iskandar Puteri dan kawasan sempadan yang menjadi tumpuan permintaan rentas sempadan.

“Situasi ini mewujudkan perbezaan harga antara kawasan bandar dan daerah pedalaman, sekali gus memberi tekanan kos sara hidup kepada penduduk tempatan,” ujarnya.

Dalam hal ini, Cik Noranita berkata fenomena kenaikan harga yang tidak sekata merentasi wilayah menyebabkan sebahagian rakyat Johor merasakan kos sara hidup meningkat walaupun secara purata inflasi negeri dilihat terkawal.

Kesan limpahan harga antara kawasan turut menyumbang kepada tekanan inflasi setempat.

Namun, tekanan harga yang berlaku sebahagian besarnya didorong faktor luar yang sukar dikawal sepenuhnya melalui dasar negeri.

“Permintaan tinggi itu datang dari luar Johor dan bukan daripada rakyat Johor sendiri. Dasar fiskal negeri boleh meningkatkan daya tahan isi rumah dan pendapatan rakyat, tetapi tidak mampu menutup sepenuhnya saluran permintaan asing,” katanya.

Turut berkongsi pandangan sama, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor (JICCI), Encik Segar Rajoo, berkata kuasa beli warga Singapura sememangnya memberi kesan ketara kepada ekonomi Johor.

“Ini kebiasaannya berlaku di kawasan sempadan apabila peningkatan permintaan menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan, peluasan peluang pekerjaan serta tarikan pelaburan.

“Namun, permintaan yang sama turut mendorong kenaikan harga makanan, perkhidmatan, sewaan dan hartanah, sekali gus mewujudkan tekanan kenaikan harga setempat yang lebih dirasai penduduk tempatan, terutama apabila peningkatan pendapatan mereka tidak bergerak seiring dengan kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Menurutnya, meskipun perbelanjaan rentas sempadan kekal sebagai pemacu penting pertumbuhan ekonomi Johor, cabaran utama adalah mencari keseimbangan antara manfaat ekonomi dan kemampuan rakyat tempatan.

“Ini termasuk memastikan pertumbuhan pendapatan yang lebih mampan bagi mengelakkan tekanan kos sara hidup berpanjangan,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg