Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengarah S’pura antara 5 dituduh mudaratkan khidmat air di Johor

Hadapi hukuman penjara 30-40 tahun jika sabit kesalahan sabotaj sebabkan mudarat terhadap pemeliharaan khidmat utama
Sep 26, 2024 | 2:29 PM
Dua daripada lima tertuduh – warga Singapura Tan Eng Yong (hadapan) dan warga Malaysia Lau Kam Wai – dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada 26 September untuk pendakwaan mencemar sungai di Johor yang menyebabkan kemudaratan terhadap pemeliharaan perkhidmatan air.
Dua daripada lima tertuduh – warga Singapura Tan Eng Yong (hadapan) dan warga Malaysia Lau Kam Wai – dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada 26 September untuk pendakwaan mencemar sungai di Johor yang menyebabkan kemudaratan terhadap pemeliharaan perkhidmatan air. - Foto NSTP

KOTA TINGGI: Lima lelaki, termasuk seorang warga Singapura, membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada 26 September atas tuduhan melakukan sabotaj menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan air di Bandar Tenggara.

Dua daripada tertuduh ialah pengarah dan pemegang saham sebuah kilang, warga Singapura, Tan Eng Yong, 41 tahun, dan warga Malaysia Lau Kam Wai, 53 tahun.

Tertuduh lain – R. Navaraj, 23 tahun; K. Prasanth, 28 tahun; dan K. Jaya Kumar, 52 tahun – adalah pemandu dan kelindan lori.

Tan dan Lau didakwa bersubahat dengan tertuduh lain pada 4 September antara 8 malam dengan 11.30 malam di kawasan lombong Kampung Orang Asli Pasir Intan, Bandar Tenggara, dalam daerah Kota Tinggi.

Mereka didakwa secara tidak langsung melakukan sabotaj, iaitu menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan utama, iaitu perkhidmatan air, lapor Berita Harian Malaysia.

Tertuduh didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas bersubahat melakukan kesalahan itu.

Mereka didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama dengan seksyen 124K Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun jika disabit kesalahan.

Dalam pertuduhan berasingan, Navaraj, Prasanth dan Jaya Kumar didakwa melakukan kesalahan antara 8 malam dengan 11.30 malam di kawasan lombong Kampung Orang Asli Pasir Intan, Bandar Tenggara, dalam daerah Kota Tinggi pada 4 September.

Mereka didakwa secara tidak langsung melakukan sabotaj, iaitu menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan utama, iaitu perkhidmatan air.

Jika disabit kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun.

Semua tertuduh mengangguk memahami tuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu dan Mandarin serta mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Hakim Mahkamah Sesyen Hayda Faridzal Abu Hasan, menetapkan 14 November sebagai tarikh sebutan semula kes dan bagi proses pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Beliau tidak membenarkan jaminan bagi semua tertuduh.

Ketika sesi mahkamah bermula, Prasanth rebah hingga mengganggu kelancaran mahkamah selama tiga minit.

Malah, selepas sesi tuduhan Prasanth memaklumkan mahkamah bahawa dia tidak bersalah kerana tidak mengetahui kandungan barangan yang dibawanya ketika kejadian.

Bagaimanapun, Hakim Hayda Faridzal menyatakan kenyataan itu boleh dimaklumkan ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Awal September, Johor berdepan beberapa siri pencemaran bau dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa kimia di sungai sekitar Johor Bahru dan Kota Tinggi.

Sebelum ini, lebih 38 penduduk orang asli di Kampung Pasir Intan terpaksa dipindahkan ke balai raya kampung berdekatan selepas sesak nafas dan sukar bernafas susulan pencemaran bau Sungai Linggui, iaitu anak Sungai Sayong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg