KUALA LUMPUR: Kesan krisis bekalan sejagat sudah mula meresap ke dalam kos pengangkutan, logistik, harga barang serta perbelanjaan harian rakyat, dan Malaysia kini berdepan dengan fasa penyesuaian kos yang kian nyata.

Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata hasil pemantauan harga bahan makanan terpilih bagi tempoh 13 hingga 19 April lalu menunjukkan pergerakan harga yang bercampur.

Beliau berkata keadaan itu menunjukkan tekanan bekalan tidak berlaku secara seragam, sebaliknya berbeza mengikut kategori dan dipengaruhi faktor cuaca, kos input pertanian, kos pengangkutan serta turun naik bekalan jangka pendek.

“Harga purata ayam biasa telah meningkat 2.8 peratus daripada RM9.09 ($2.92) sekilogram kepada RM9.33 sekilogram, manakala harga daging lembu turun 5 peratus kepada RM35.65 sekilogram.

Harga telur ayam Gred C pula kekal stabil pada purata RM3.66 bagi 10 biji.

“Bagi kategori ikan dan sayur-sayuran pula, harga ikan kembung turun kepada RM16.43 sekilogram daripada RM17.08; purata harga sawi meningkat daripada RM5.89 kepada RM6.21 sekilogram.

“Manakala bayam hijau kekal mantap pada RM5.26 sekilogram,” katanya pada taklimat khas berkaitan krisis bekalan sejagat yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen tempatan Malaysia pada 21 April, lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Akmal Nasrullah berkata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut merakamkan kenaikan purata harga diesel di Semenanjung kepada RM4.09 seliter berbanding RM2.98 pada Februari lalu, manakala petrol RON97 meningkat kepada RM4.01, berbanding RM3.11 sebelum ini.

Sehubungan itu, menurutnya, tindak balas kerajaan perlu cepat dan tepat berasaskan data semasa dalam mendepani kesan krisis berkenaan terhadap kehidupan rakyat.

Berhubung pasaran buruh, beliau berkata, trend kehilangan pekerjaan buat masa ini belum menunjukkan tekanan berskala besar, namun, masih memerlukan pemantauan rapi.

“Pengalaman lalu menunjukkan, impak kejutan kos tenaga terhadap pekerjaan lazimnya muncul dengan sedikit jarak waktu.

“Berdasarkan data permohonan faedah di bawah Sistem Insurans Pekerjaan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), seramai 4,708 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan bagi tempoh 16 hari pertama April 2026,” ujarnya.

Encik Akmal Nasrullah menjelaskan, suku kedua 2026 akan menjadi tempoh penting untuk menilai sama ada tekanan kos yang dihadapi syarikat, mula diterjemahkan kepada langkah pengurangan operasi atau pekerjaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan memberi tumpuan kepada penyesuaian dasar bagi mengurus tekanan kos sambil memastikan bekalan dan keperluan asas rakyat terus terjamin dalam menghadapi kesan krisis bekalan ketika ini.

Menurutnya, konflik di Selat Hormuz masih belum menunjukkan penyelesaian yang benar-benar meyakinkan walaupun terdapat perkembangan diplomatik tertentu.

Encik Akmal Nasrullah berkata jika ketidaktentuan itu berterusan, impak terhadap kos tenaga dan rantaian bekalan dunia boleh berlarutan sehingga 18 bulan sebelum kembali stabil, bergantung kepada perkembangan geopolitik serta pemulihan laluan perdagangan.