Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengembara M’sia mula guna kod QR untuk pelepasan imigresen di KLIA

Jan 2, 2025 | 1:48 PM
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto fail

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia akan melaksanakan tempoh percubaan penggunaan kod Respons Pantas (QR) khusus bagi warganya, bermula Januari ini, bagi melancarkan sistem pelepasan imigresen khusus di 40 lorong khas Terminal 1 (T1) dan T2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penggunaan kod QR di kawasan ketibaan serta pelepasan T1 dan T2 itu adalah langkah penyelesaian terhadap isu kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk negara termasuk di KLIA terutama pada waktu sibuk dan musim perayaan.

Beliau berkata antara kelebihan penggunaan kod QR adalah tempoh pelepasan imigresen hanya mengambil masa singkat iaitu antara lima hingga tujuh saat berbanding 15 hingga 25 saat menggunakan pintu automatik konvensional.

Kod QR juga katanya dapat meningkatkan aspek keselamatan dan kecekapan perkhidmatan menerusi penggunaan teknologi terkini serta mengurangkan ketirisan.

“Melalui sistem kod QR ini, pengembara tidak perlu lagi mengeluarkan pasport semasa pelepasan imigresen, namun mereka diwajibkan untuk sentiasa membawa pasport sepanjang perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Saifuddin berkata walaupun pelepasan imigresen kini dilaksanakan menggunakan kod QR, namun kemudahan kaunter manual dan sistem pagar automatik konvensional akan terus tersedia serta masih boleh digunakan seperti biasa.

Pada Disember 2024 lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, dilaporkan berkata kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkan penggunaan sistem baru berasaskan kod QR di KLIA, bertujuan mempercepat proses pemeriksaan di kaunter imigresen sebagai usaha mengurangkan kesesakan.

Sistem itu akan membolehkan pengembara mengimbas kod QR yang mengandungi maklumat peribadi dan butiran perjalanan mereka.

Malaysia telah mula melaksanakan pelepasan imigresen menggunakan kod QR untuk penumpang bas dan penunggang motosikal di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sempadan Johor-Singapura sejak Jun 2024.

Melihat kejayaan dan kecekapan prosedur pelepasan imigresen dengan kod QR, kerajaan Malaysia akan memperluaskan penggunaannya untuk semua jenis perjalanan dan pengangkutan di BSI dan KSAB bermula 2025.

Keperluan itu berdasarkan unjuran laluan Johor-Singapura dijangka menerima kemasukan kenderaan sebanyak 150 juta setahun berbanding 116 juta sebelum ini, dengan Singapura juga merupakan penyumbang pelancong tertinggi di Malaysia bagi negara Asean.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg