Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah yang juga Ahli Parlimen (AP) Kinabatangan enam penggal, Datuk Seri Bung Moktar Radin, meninggal dunia pada awal pagi 5 Disember.
Berita duka pemergian Allahyarham pada usia 66 tahun dikongsi oleh anak lelakinya, Encik Naim Kurniawan Moktar, menerusi hantaran di media sosial.
Allahyarham Datuk Bung Moktar, yang juga suami kepada pelakon, Zizie Ezette, menghembuskan nafas terakhir pada 1.45 pagi, ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.
Allahyarham baru seminggu memenangi buat kali kedua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamang, Sabah, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu, pada 29 November.
Difahamkan, beliau mengalami kegagalan ginjal dan dimasukkan ke hospital berkenaan sejak pagi 4 Disember.
Pada 4 Disember, Setiausaha Umno Sabah, Datuk Jafry Ariffin, dilaporkan mengesahkan Ketua Umno Sabah itu berada dalam keadaan tenat selepas mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.
The Star melaporkan, pembantu Datuk Bung Moktar, berkata, Allahyarham mula jatuh sakit selepas menyerahkan borang pencalonannya untuk PRN Sabah pada 15 November dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta kerana jangkitan paru-paru.
Beliau dibenarkan keluar selepas beberapa hari dirawat dan walaupun dinasihatkan supaya berehat, Allahyarham terus menjalankan kempen Pilihan Raya bagi calon BN untuk PRN itu.
Malah, beliau turut mengikuti perkembangan keputusan malam Pilihan Raya dan bertemu dengan ahli parti dalam beberapa hari berikutnya walaupun tidak sihat.
Pemergian Allahyarham sebagai tokoh politik dan pemimpin berpengaruh yang banyak berjasa disifatkan sebagai satu kehilangan besar bagi masyarakat Sabah, malah meninggalkan kesan mendalam kepada rakan seperjuangannya, terutama dalam arena politik negara.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meluahkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian sahabat karibnya itu.
Datuk Ahmad Zahid berkata pemergian Allahyarham yang disifatkan sebagai sahabat sejati, rakan seperjuangan yang sentiasa berdiri teguh di sisi dan insan yang setia menemani di setiap waktu senang dan susah, meninggalkan kekosongan besar dalam hidupnya.
“Sukar untuk saya mencari kata-kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini. Yang tinggal hanyalah doa, mengiringi segala kenangan dan kebaikan yang telah beliau tinggalkan buat kami di dunia ini,” katanya di Facebook.
Datuk Ahmad Zahid turut merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham, berserta doa mereka diberikan ketabahan, ketenangan dan kekuatan untuk menghadapi saat yang amat berat ini.
“Kami di seluruh saf kepimpinan Umno, BN dan seluruh rakyat khususnya di Sabah berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, dilimpahi keampunan, dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Mu yang beriman serta beramal soleh,” tulisnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg