Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengetua di Terengganu didakwa lakukan serangan seksual libat pelajar perempuan

Dec 20, 2024 | 2:55 PM
Pengetua sebuah sekolah menengah (tengah) di Marang, Terengganu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu, pada 19 Disember, atas tuduhan melakukan serangan seksual bukan fizikal terhadap anak muridnya.
Pengetua sebuah sekolah menengah (tengah) di Marang, Terengganu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu, pada 19 Disember, atas tuduhan melakukan serangan seksual bukan fizikal terhadap anak muridnya. - Foto NSTP

MARANG (Terengganu): Pengetua sebuah sekolah menengah di Marang, Terengganu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang, atas dua tuduhan berkomunikasi secara seksual dan melakukan serangan seksual bukan fizikal terhadap seorang pelajar perempuan, pada Julai.

Tertuduh, Mohd Tajudin Mokhtar, 59 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di mahkamah pada 19 Disember dan minta dibicarakan selepas dua tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zur Azureen Zainalkefli.

Mengikut tuduhan pertama, tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual atau lucah dan menunjukkan gambar perempuan seksi kepada mangsa yang berumur 16 tahun di dalam pejabatnya di sekolah berkenaan kira-kira 8.30 pagi, pada 2 Julai.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan serangan seksual bukan fizikal ke atas mangsa di tempat, tarikh dan waktu yang sama, lapor Harian Metro.

Dengan kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan Seksyen 15(e) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 ($6,029) atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Maisarah Abd Razak, tidak menawarkan sebarang ikat jamin.

Namun beliau berkata, jika mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, beliau mengusulkan RM30,000 bagi kededua tuduhan dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Peguam mewakili tertuduh, Encik Abdul Haiyyi Salim, pula memohon ikat jamin yang rendah atas alasan anak guamnya telah berkhidmat selama 32 tahun dan perlu menanggung seorang anak masih belajar serta isteri yang mempunyai masalah kesihatan.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Januari 2025 untuk sebutan semula kes dan Magistret Zur Azureen membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kededua tuduhan dengan dua penjamin.

Tertuduh membayar ikat jamin itu.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg