Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penggodam serang M’sia Airport Holdings Berhad

Anwar kata ‘tidak’ kepada tuntutan AS$10j, paparan maklumat penerbangan di KLIA terjejas
Mar 25, 2025 | 2:38 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perlu untuk meningkatkan sistem negara dengan dana tambahan kepada beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perlu untuk meningkatkan sistem negara dengan dana tambahan kepada beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan sistem digital Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah diserang baru-baru ini dengan penggodam menuntut bayaran AS$10 juta ($13.38 juta)

Beliau berkata kerajaan Malaysia bagaimanapun tidak tunduk kepada ugutan itu, selain menyatakan keperluan meningkatkan sistem negara dengan dana tambahan kepada beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia.

“Semalam (24 Mac) kita bicara tentang serangan siber dan hacking (godam) yang agak berat terhadap MAHB. Jadi perbincangan bagaimana menyelesaikan, termasuk tuntutan daripada penggodam untuk memperolehi dana AS$10 juta atau sebagainya, saya dimaklumkan.

“Saya tak tunggu lima saat. Saya terus jawab “No”. Tidak mungkin negara ini akan selamat kalau pimpinan dan sistemnya mengizinkan kita tunduk kepada ultimatum penjenayah dan perkhianatan,” katanya pada Sambutan Hari Polis Ke-218 di Pusat Latihan Polis di sini pada 25 Mac, lapor Harian Metro.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan lebih lanjut tentang serangan siber terhadap sistem MAHB tersebut.

Pada 24 Mac, mantan Ahli Parlimen (AP) Wangsa Maju, Encik Wee Choo Keong, dalam satu catatan di X mempersoalkan jika MAHB menjadi mangsa serangan siber, sehingga mendakwa ada gangguan dalam sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

Butiran maklumat adalah terhad walaupun di media sosial, tetapi menurut Encik Wee dan sekurang-kurangnya satu hantaran di media sosial lain, Malaysiakini difahamkan paparan maklumat penerbangan adalah antara yang terjejas.

Sebaliknya, maklumat ketibaan dan paparan tersebut dikemas kini secara manual pada papan putih.

Encik Wee mendakwa kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi turut terjejas semasa gangguan 10 jam yang dilaporkan tersebut.

Sementara itu, bersempena dengan Sambutan Hari Polis pada 25 Mac, Datuk Anwar berharap PDRM dapat meningkatkan kekuatan pasukan termasuk bersikap lebih tegas terhadap isu rasuah, tatakelola dan tidak menyerah kepada mana-mana pihak yang membuat ugutan.

“Saya yakin apabila bicara soal pembanterasan rasuah dan tatakelola, sekiranya agensi penguat kuasa seperti PDRM dan lain-lain secara tegas dan keras untuk satu dua tahun ini, tidak tolak ansur sama sekali, tidak peduli pangkat dan pengaruh mereka, ambil tindakan sekeras-kerasnya… saya yakin suasana politik dan iklim negara ini akan jauh lebih baik,” kata beliau.

“Saya tak tunggu lima saat. Saya terus jawab “No”. Tidak mungkin negara ini akan selamat kalau pimpinan dan sistemnya mengizinkan kita tunduk kepada ultimatum penjenayah dan perkhianatan.”
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg