Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengunjung Kampung Sungai Melayu meningkat lebih dua kali ganda
Tarikan ekopelancongan berwajah baru tawar pelayaran ke arah bandar Johor Bahru dan kegiatan menyusuri paya bakau
ISKANDAR PUTERI: Jumlah pengunjung ke Eko-Pelancongan Kampung Sungai Melayu di sini melonjak lebih dua kali ganda kepada 15,188 orang bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, berbanding 6,256 orang dalam tempoh sama pada 2025.
Peningkatan hampir 143 peratus itu dicatatkan selepas destinasi berkenaan dinaik taraf dan dibuka semula pada 1 Jun dengan beberapa kemudahan serta kegiatan baru.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata tarikan berkenaan kini menawarkan pengalaman lebih selesa kepada pengunjung, selain mengekalkan keunikan alam semula jadi dan kehidupan penduduk kampung.
“Syukur alhamdulillah, satu lagi produk pelancongan Johor kini diberi nafas baru.
“Eko-Pelancongan Kampung Sungai Melayu yang dibangunkan kini menawarkan pengalaman lebih selesa dan menarik, bukan sahaja melalui kegiatan menyusuri sungai, malah turut dilengkapi Laman Budaya, gerai jualan, kawasan jeti, tempat letak kereta serta perkhidmatan kereta pengangkut,” katanya dalam kenyataan pada 26 Ogos.
Menurut Datuk Onn Hafiz, peningkatan jumlah pengunjung mencerminkan sambutan yang semakin baik dan potensi besar Kampung Sungai Melayu untuk muncul sebagai destinasi ekopelancongan pilihan di Johor.
Pengunjung boleh memilih dua kegiatan utama, iaitu Lawatan Bot menggunakan bot kecil atau Pelayaran Sungai dengan bot lebih besar.
Tiket Lawatan Bot bagi warga Malaysia berharga RM35 ($10.50) untuk dewasa dan RM18 bagi kanak-kanak. Bagi pelancong asing, harga tiket ditetapkan pada RM60 untuk dewasa dan RM35 bagi kanak-kanak.
Harga Pelayaran Sungai bagi warga Malaysia pula ialah RM45 untuk dewasa dan RM22 bagi kanak-kanak.
Destinasi itu dibuka dari 9 pagi hingga 4.30 petang dan tidak beroperasi pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, berkata kerja menaik taraf kawasan berkenaan bermula pada penghujung 2024 sebelum ia dibuka semula pada 1 Jun lalu.
Menurutnya, dua jenis perjalanan bot itu menawarkan pengalaman yang berbeza kepada pengunjung.
“Lawatan Bot membawa pengunjung meneroka kawasan hutan paya bakau, manakala Pelayaran Sungai menggunakan bot besar dan bergerak ke arah bandar Johor Bahru.
“Pengunjung boleh melihat beberapa mercu tanda di sepanjang perjalanan, termasuk kawasan Danga Bay. Tempoh perjalanan dianggarkan antara 30 dengan 45 minit,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Selain menyusuri paya bakau, pengunjung boleh melihat kehidupan masyarakat nelayan, mengenali kegiatan ternakan kupang, mencuba cara tradisional menangkap ketam serta menikmati hasil laut dan masakan tempatan.
Datuk Pandak berkata kerajaan negeri turut mengkaji kemungkinan memperkenalkan pelayaran ketika matahari terbenam bagi mempelbagaikan pengalaman yang ditawarkan.
Beliau memberi jaminan bahawa harga tiket tidak akan dinaikkan sewenang-wenangnya walaupun jumlah pengunjung dijangka terus bertambah.
“Harga masih dikekalkan kerana destinasi ini berada di bawah kawalan kerajaan negeri dan turut dipantau Pejabat Menteri Besar,” katanya.
Usaha promosi juga akan diperluas kepada sekolah menengah dan sekolah swasta bagi memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai kepelbagaian biologi serta kepentingan memelihara hutan paya bakau.
