Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tipu ibu konon diculik, tuntut tebusan: 2 pelajar uni S’pura didakwa di mahkamah KL

May 14, 2025 | 3:04 PM
Kes tipu, M’sia, pelajar uni
Dua warga China yang juga pelajar sebuah universiti di Singapura dibawa anggota polis untuk tuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada 13 Mei, kerana membuat laporan palsu kononnya diculik ketika di Malaysia dan meminta wang tebusan daripada keluarga yang berada di Dubai. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Dua penuntut sebuah universiti di Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Mei atas tuduhan cuba menipu ibu salah seorang daripada mereka bagi mendapatkan wang tebusan melalui penculikan palsu.

Zhang Runbao, 23 tahun, dan Ye Yingxi, 18 tahun, masing-masing warga China, didakwa bersama-sama cuba menipu ibu Ye, Cik Cheng Zhiwen, sebanyak 5 juta yen (RM2.9 juta / $902,055) dengan cara membuat panggilan dan menghantar video menunjukkan anaknya itu kononnya diculik.

Video tersebut memaparkan Ye dalam keadaan separuh bogel, mulut ditutup dan dicekik, badannya dipijak serta mukanya dituang dengan air bertujuan menuntut wang tebusan serta memasukkannya ke dalam satu akaun di China.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 11.44 pagi dan 9.15 malam pada 2 Mei lalu, di sebuah hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, lapor Berita Harian Malaysia.

Mereka didakwa cuba menipu Cik Cheng mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama dan juga Seksyen 34. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara antara satu hingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Mereka juga berdepan tuduhan alternatif (pilihan) kerana menipu dengan cara yang serupa pada masa dan tempat yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Azrul Darus membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 ($9,052) dengan dua penjamin serta memerintahkan supaya pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes itu pada 27 Mei.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg