Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peniaga asing jualan di bazar JB dipantau

Mar 13, 2024 | 12:27 PM
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, menyantuni peniaga di bazar di Bandar Baru Uda di Johor Bahru, pada 12 Mac petang.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, menyantuni peniaga di bazar di Bandar Baru Uda di Johor Bahru, pada 12 Mac petang. - Foto FACEBOOK MOHD JAFNI MD SHUKOR

JOHOR BAHRU: Peniaga warga asing dilarang menjalankan aktiviti perniagaan di tapak bazar semasa bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri di seluruh Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) juga tidak pernah dan tidak akan mengeluarkan sebarang lesen perniagaan kecil kepada warga asing.

“Sekiranya ada warga asing berniaga termasuk di celah-celah bazar, orang ramai diminta laporkan kepada pihak berkuasa dan kita akan ambil tindakan denda dan merampas barangan jualan mereka.

“Warga asing pun tahu sebenarnya mereka tidak boleh berniaga sebab itu di peringkat PBT, khususnya dalam kawasan Greater Johor Bahru, kita sedang menguatkuasakan tindakan kepada peniaga warga asing termasuk di Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau terdahulu meninjau Bazar Ramadan Bandar Baru Uda di Johor Bahru yang menyediakan 160 tapak niaga dan antara bazar yang terbesar di negeri ini pada 12 Mac petang.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak 9,769 petak niaga membabitkan 182 lokasi bazar semasa bulan Ramadan dan 1,904 petak niaga pula diluluskan bagi 25 lokasi Bazar Aidilfitri pada 2024.

“Peniaga yang terlibat perlu mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan PBT masing-masing termasuk larangan menjual barangan cetak rompak dan menjaga kebersihan tapak perniagaan masing-masing,” katanya.

Pada masa sama, Datuk Mohd Jafni berkata semua PBT di Johor akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan aspek kebersihan dipatuhi peniaga bazar.

“Peniaga perlu mematuhi Akta Makanan 1983 bagi menjaga keselamatan dan kualiti makanan yang dijual.

“Ini perkara biasa dan sepatutnya mereka maklum dengan perkara ini kerana majoriti daripada mereka adalah peniaga di pasar malam, pasar pagi atau pasar tani,” katanya.

Beliau turut meminta pengguna untuk menghubungi PBT masing-masing jika terdapat sebarang aduan berkaitan pelanggaran syarat terutamanya yang melibatkan perniagaan tanpa lesen dan peniaga warga asing.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg