Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeniaga yang terima Dana Niaga, Berdikari Johor perlu dapat sijil halal
Mesyuarat majlis agama turut teliti keperluan bangunkan ekosistem data bersepadu di bawah portfolio Hal Ehwal Agama Islam
Peniaga yang terima Dana Niaga, Berdikari Johor perlu dapat sijil halal
JOHOR BAHRU: Penerima bantuan Dana Niaga dan Berdikari yang menjalankan perniagaan berkaitan diwajibkan mendapatkan pensijilan halal sebagai sebahagian daripada usaha Johor memperkukuh ekosistem halal negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata skop bantuan turut diperluaskan bagi merangkumi keperluan mendapatkan pensijilan halal dan tidak lagi terhad kepada penyediaan peralatan perniagaan.
Beliau berkata katerer bagi mesyuarat dan majlis rasmi di bawah portfolio Hal Ehwal Agama Islam Johor juga perlu mengutamakan penyedia perkhidmatan yang memiliki sijil halal.
“Antara perkara yang diberikan perhatian ialah usaha memperkukuh ekosistem halal, termasuk mewajibkan penerima bantuan Dana Niaga dan Berdikari mendapatkan pensijilan halal bagi perniagaan berkaitan.
“Skop bantuan turut diperluaskan kepada keperluan pensijilan halal, bukan hanya penyediaan peralatan,” katanya dalam satu kenyataan pada 24 September.
Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Penuh Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) kali ke-297.
Encik Mohd Fared berkata mesyuarat turut meneliti keperluan membangunkan ekosistem data bersepadu di bawah portfolio Hal Ehwal Agama Islam.
Langkah itu bertujuan memastikan data yang dikendalikan lebih seragam, tepat dan tersusun, selain membolehkan perkongsian serta penyelarasan maklumat secara berkesan antara jabatan dan bahagian terlibat.
Aspek kekeluargaan dan kebajikan turut diberikan perhatian melalui penyeragaman Modul Keluarga Sakinah serta pendedahan kepada peserta kursus praperkahwinan mengenai skim bantuan Mainj yang boleh dimanfaatkan.
Dalam aspek pembangunan, projek Mainj akan diteliti semula dengan memberikan keutamaan kepada pembangunan Sekolah Agama Negeri Johor.
“Belanjawan Johor 2027 turut memberikan tumpuan kepada penyelarasan bantuan, khususnya dalam aspek perumahan dan pendidikan.
“Penyelarasan bersama agensi yang menawarkan skim bantuan sama penting untuk mengelakkan pertindihan dan memastikan manfaat sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Pada sesi kedua mesyuarat, ahli turut mendengar pembentangan perunding yang dilantik Mainj mengenai Kajian Penstrukturan Operasi Dialisis Mainj serta Laporan Amalan Tadbir Urus Anak Syarikat Mainj.
Mesyuarat bersetuju menerima pembentangan itu dan mengguna pakai amalan tadbir urus yang dicadangkan, termasuk berkaitan struktur organisasi dan pentadbiran anak syarikat.
Ahli lembaga pengarah turut diminta mengenal pasti anak syarikat yang memerlukan suntikan dana bagi menjamin kelangsungan dan keberkesanan operasinya.
“Kita mahu setiap perancangan, peruntukan dan bantuan yang disediakan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan serta memberikan manfaat kepada masyarakat Islam di Johor,” kata Encik Mohd Fared.