KUALA LUMPUR: Pelbagai barangan mewah dan 92 akaun bank membabitkan nilai lebih RM30 juta ($8.71 juta) milik syarikat pelaburan yang disyaki menjalankan kegiatan melibatkan penipuan pelaburan, dirampas serta disita Bank Negara Malaysia (BNM).
BNM menerusi satu kenyataan memaklumkan, rampasan dan sitaan dibuat hasil operasi bersepadu yang dijalankan di 12 premis di sekitar Lembah Klang sejak 30 Julai.
Menurut BNM serbuan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN); Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN); CyberSecurity Malaysia (CSM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
“Tindakan penguatkuasaan bersama diambil terhadap XFOX Market Sdn Bhd dan beberapa entiti lain kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan.
“Dalam serbuan itu, pelbagai dokumen dan barangan berkaitan yang diperlukan bagi membantu siasatan dirampas.
“Turut dirampas pelbagai aset terdiri daripada emas, wang tunai berjumlah lebih RM4.85 juta termasuk mata wang asing, mata wang kripto, kenderaan dan barangan mewah.
“Selain itu, 92 akaun bank berjumlah RM25.4 juta dan peti simpanan dibekukan,” kata BNM, lapor Harian Metro.
BNM berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013; Seksyen 112 dan 113 Akta Cukai Pendapatan 1967; Seksyen 27B Akta Skim Jualan Langsung dan Anti Piramid 1993 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Menurutnya, operasi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan antara agensi untuk memerangi jenayah kewangan di Malaysia.
Justeru, BNM menggesa orang ramai agar berwaspada dan melabur dengan entiti berlesen atau berdaftar dengan pihak berkaitan.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya berhati-hati mengenai peluang pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi terutama di media sosial, e-mel atau telefon bijak.
Terdahulu, media melaporkan sebuah syarikat pelaburan yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan pelaburan diserbu oleh pihak berkuasa dan pelbagai kenderaan mewah dirampas.
Difahamkan serbuan oleh pasukan KPDN serta BNM itu dijalankan di pejabat serta kediaman pemilik syarikat di Subang, Selangor.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg