JOHOR BAHRU: Masih ada peniaga di Bazar Ramadan di Johor dikesan menggunakan stapler bagi penyediaan dan penjualan kuih-muih, terutama tepung pelita dan pulut panggang.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2022 mengeluarkan kenyataan mengenai risiko penggunaan bahan seperti paku dan stapler untuk membungkus makanan kerana boleh menyebabkan kecederaan serius jika ia termasuk dalam makanan dan ditelan.
Di bawah Peraturan Kebersihan Makanan 2009, pengendali makanan dikehendaki memastikan pembungkusan makanan bebas daripada pencemaran, termasuk bahan seperti paku dan stapler.
Peniaga makanan yang menggunakan paku, stapler atau bahan berbahaya seumpamanya pada pembungkusan makanan boleh didakwa dan didenda tidak lebih RM10,000 ($3,009) atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau dikenakan kededua hukuman.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata penggunaan stapler dikesan semasa operasi pemeriksaan bazar Ramadan yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).
Menurutnya, 1,240 premis makanan di bazar Ramadan di Johor diperiksa sejak Ramadan bermula pada 2 Mac.
Dalam pemeriksaan itu, hanya satu Notis Kompaun dikeluarkan, dengan tawaran kompaun bernilai RM100, kerana tidak mematuhi Peraturan Kebersihan Makanan 2009, manakala yang lain, iaitu lebih 80 peratus, mempunyai tahap kebersihan memuaskan.
“Dalam operasi pemeriksaan, 2,112 pengendali makanan diperiksa dan kesemua mereka diberikan pendidikan kesihatan sebelum dan semasa Ramadan secara berterusan.
“Pendidikan kesihatan ini termasuklah penguatkuasaan pendidikan ke atas penggunaan stapler yang masih banyak diguna pakai bagi penyediaan dan penjualan kuih-muih tradisional, terutama tepung pelita dan pulut panggang,” katanya, lapor Harian Metro.
Encik Ling berkata kegiatan persampelan terpilih juga akan diteruskan ke atas makanan berisiko tinggi di premis bazar Ramadan pada 2025, bagi tujuan memantau dan mengesan tahap pencemaran mikrobiologi.
“Sekiranya keputusan diterima tidak mematuhi Peraturan Makanan 1985, tindakan pendakwaan akan diambil ke atas pengusaha makanan terbabit,” katanya, selepas meninjau bazar Ramadan Angsana Mall, Johor Bahru, pada 6 Mac.
Sementara itu, dua anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diserang penjaja tidak berlesen di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, dalam dua kejadian berasingan ketika mereka menjalankan tugas pemantauan di bazar Ramadan dan Aidilfitri pada 5 Mac.
DBKL dalam kenyataannya berkata dua laporan polis dibuat berhubung kejadian itu kerana mendatangkan kecederaan kepada anggota penguat kuasa.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan hanya dilaksanakan DBKL apabila individu terlibat tidak mengendahkan teguran dan terus beroperasi secara tidak sah.
“Malah, terdapat segelintir individu bertindak membuat provokasi melampau terhadap petugas DBKL,” kata kenyataan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg