Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyanyi Noraniza Idris buat laporan polis ditipu, rugi RM630,000

Mar 4, 2025 | 1:01 PM
Penyanyi, Noraniza Idris, mendakwa sebuah akademi latihan keusahawanan gagal membayar selepas mengambil produk murukunya selama tempoh sekitar sebulan dan dianggar melibatkan sekitar 20,000 pek.
Penyanyi, Noraniza Idris, mendakwa sebuah akademi latihan keusahawanan gagal membayar selepas mengambil produk murukunya selama tempoh sekitar sebulan dan dianggar melibatkan sekitar 20,000 pek. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Penyanyi Noraniza Idris membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bahawa perniagaan murukunya dianiaya sebuah akademi latihan keusahawanan hingga beliau kerugian hampir RM630,000 ($189,931).

Ketika ditemui, Noraniza, 57 tahun, berkata beliau menyedari ditipu selepas akademi itu gagal membuat pembayaran selepas mengambil produknya selama sekitar sebulan dan dianggar melibatkan sekitar 20,000 pek.

“Saya menerima pelawaan mereka kerana niat ingin membantu, tambahan pula saya memang menyokong kegiatan amal kebajikan sejak sekian lama.

“Namun, niat baik itu dipermainkan apabila pihak terbabit melanggar perjanjian dengan hanya membayar kira-kira RM3,000 secara berperingkat.

“Sejak menyedari ditipu pada Jun tahun lalu (2024), saya kerap menuntut bayaran tetapi pelbagai alasan diberikan sehingga jumlah kerugian mencecah RM630,000.

“Kerugian itu termasuk kos mesin khas membuat muruku, percetakan, kos pembungkusan syarikat dan pembayaran gaji pekerja,” katanya ketika ditemui di IPD Shah Alam pada 4 Mac, lapor Harian Metro.

Beliau ditemani anak keduanya, Encik Fee Haiqal, 32 tahun.

Menurutnya, dek kejadian itu beliau terpaksa memberhentikan lebih 10 pekerja kerana tidak mampu membayar gaji mereka.

“Bagi memenuhi permintaan syarikat itu, saya menambah jumlah pekerja. Namun selepas kejadian ini, daripada 20 pekerja, kini hanya tinggal empat orang saja.

“Saya tidak boleh tutup (perniagaan ini) kerana ia perniagaan keluarga. Mahu atau tidak, saya perlu meneruskannya kerana kami masih menerima permintaan dalam talian,” katanya.

Noraniza menambah kejadian itu turut mengganggu emosi anak dan keluarganya kerana mereka telah banyak berusaha membangunkan perniagaan itu sejak setahun lalu.

“Apabila keadaan ini berlaku, saya kasihan tengok anak-anak kerana mereka sanggup tak tidur dan berjaga malam untuk pastikan kilang ini terus beroperasi.

“Saya bersungguh-sungguh buat laporan polis ini supaya kami boleh sekurang-kurangnya dapat semula hak kami dan bantu orang lain supaya tidak terpedaya dengan orang begini,” ujarnya.

Difahamkan akademi itu menawarkan peluang di platform mereka untuk penjualan produk makanan, iaitu muruku, yang diusahakan Noraniza.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg