KUALA LUMPUR: Penyanyi rap kontroversi Malaysia, Namewee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee, ditahan reman bermula 5 November, bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan, mendiang Hsieh Yun Hsin, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Kualan Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Sazalee Adam, mengesahkan perkara itu dan berkata: “Untuk makluman, Namewee direman pagi ini (5 November) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan kes”.
Kematian wanita itu awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun kemudian ditukar kepada kes bunuh selepas siasatan lanjut dijalankan.
Terdahulu, media Malaysia melaporkan Namewee, 42 tahun, yang menjadi buruan polis bagi membantu siasatan kes kematian personaliti media sosial Taiwan itu menyerah diri di IPD Dang Wangi pada malam 4 November, selepas pulang dari Johor Bahru.
Melalui hantaran di Facebook miliknya, Namewee memaklumkan bahawa beliau hadir ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan serta memberi keterangan kepada pihak berkuasa.
“Sekarang saya sudah sampai di ibu pejabat polis, seterusnya saya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan supaya masyarakat dan keluarga mangsa mendapat penjelasan yang sewajarnya.
“Saya tidak akan melarikan diri. Sebelum ini, dalam tujuh kali saya dipanggil oleh pihak berkuasa, saya sendiri yang tampil secara sukarela untuk memberi keterangan. Saya tidak pernah lari,” katanya, lapor portal berita MalaysiaGazette.
Pada 4 November, polis memaklumkan bahawa siasatan menyeluruh sedang dijalankan berhubung kematian Hsieh, 31 tahun, yang ditemui mati dalam tab mandi bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, Kuala Lumpur, kira-kira 1.40 petang, pada 22 Oktober lalu.
Polis kemudian memburu Namewee yang dipercayai individu terakhir dilihat bersama mangsa sebelum kejadian.
Difahamkan Hsieh bertemu dengan Namewee di hotel itu pada hari kejadian, bagi membincangkan penggambaran video bersama, sebelum mendiang ditemukan meninggal dunia.
Namewee sebelum ini ditahan polis pada 22 Oktober lalu di hotel sama, selepas penemuan sembilan biji pil biru yang disyaki dadah jenis Ecstasy dianggarkan seberat 5.12 gram.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, dilaporkan berkata sepasukan polis IPD Dang Wangi menahan Namewee di hotel tersebut kira-kira 4.30 petang 22 Oktober dan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lajut.
Ujian saringan awal air kencing Namewee mendapati dia positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan THC.
Menyusuli penahanannya, Namewee sudah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 24 Oktober lalu atas dua tuduhan memiliki serta menggunakan dadah jenis Ecstasy dan bahan terlarang lain.
Bagaimanapun Namewee mengaku tidak bersalah atas kededua tuduhan dan dibenarkan diikat jamin RM4,000 ($1,245) dengan seorang penjamin, sebelum sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Disember depan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg