MARANG (Terengganu): Selepas hampir sedekad tidak kelihatan, penyu belimbing atau Leatherback Turtle yang merupakan spesies penyu terbesar di dunia dipercayai kembali mendarat di pesisiran pantai Terengganu, pada 1 September.

Kemunculan semula ‘gergasi samudera’ itu dikesan berdasarkan jejak fizikal bersaiz besar yang ditinggalkan di atas pasir, selain penemuan telur di dalam sarang oleh kakitangan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu.

Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menerusi perkongsian dalam media sosialnya memaklumkan, penyu belimbing berkenaan dipercayai mendarat selepas kali terakhir spesies tersebut dikesan di negeri ini pada 2017, lapor Utusan Malaysia.

Kakitangan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu mengukur jejak fizikal penyu yang mendarat di Pantai Marang.
Kakitangan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu mengukur jejak fizikal penyu yang mendarat di Pantai Marang. - Foto FACEBOOK JABATAN PERIKANAN NEGERI TERENGGANU

Menurut perkongsian tersebut, penemuan itu sekali gus memberi harapan baharu terhadap kelangsungan spesies penyu yang semakin terancam berikutan kemerosotan jumlah pendaratannya di pantai Terengganu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Penyu belimbing adalah spesies penyu terbesar di dunia dan mempunyai ciri fizikal tersendiri termasuk karapas berwarna gelap yang tidak mempunyai sisik keras seperti kebanyakan spesies penyu lain.

“Kemunculan semula spesies berkenaan di pantai Terengganu juga dianggap signifikan kerana negeri ini pernah menjadi antara lokasi penting pendaratan penyu belimbing di Malaysia,” jelas perkongsian tersebut.

Menurutnya, lebih menggembirakan, penemuan telur di lokasi berkenaan memberi petunjuk bahawa kawasan pantai tersebut masih mempunyai keadaan yang sesuai untuk dijadikan lokasi bersarang.

Penemuan itu pada masa sama mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan memastikan kebersihan pantai dan ekosistem laut terus dipulihara bagi menjamin kelangsungan hidupan marin, khususnya spesies penyu yang semakin terancam.

Terdahulu, Pejabat Perikanan Negeri Terengganu melaporkan kemunculan ‘Raja Penyu’ melalui analisis jejak merangkak fizikal bersaiz besar (2.1 meter lebar) di atas pasir pesisiran Pantai Marang, serta penemuan sarang telur dengan telur penyu bersaiz anggaran 52 milimeter diameter di lokasi tersebut.

Sebanyak 44 biji telur telah selamat dialihkan ke hatceri Rantau Abang dan dijangka menetas dalam tempoh tujuh hingga sembilan minggu lagi.

Dalam pada itu, Kosmo! melaporkan, induk penyu belimbing yang mendarat untuk bertelur di Pantai Marang berkemungkinan akan kembali semula untuk membuat lagi sarang seterusnya dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Ketua Pusat Konservasi Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Uzair Rusli, berkata secara lazimnya, seekor penyu belimbing betina akan bertelur di tempat pendaratan sama lebih dari sekali sepanjang musim mengawan sehingga bulan Oktober depan.