Di sebalik konflik perebutan takhta diraja di Negeri Sembilan ketika ini, istiadat perasmian pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 pada 23 April berlangsung seperti dijadual.

Namun, ia menarik perhatian apabila empat Undang (pembesar atau Ketua Wilayah Adat) tidak hadir ke majlis tersebut sebagaimana lazimnya.

Istiadat itu tetap dirasmikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dalam suasana yang berjalan lancar, namun dilihat janggal tanpa kehadiran empat Undang berkenaan, atau juga disebut Undang Yang Empat, serta Tunku Besar Tampin.

Walaupun perasmian pembukaan telah disempurnakan, persidangan DUN itu, yang sepatutnya berlangsung tiga hari bermula 27 April, ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kemudian, menyusuli konflik berterusan antara Tuanku Muhriz dengan empat Undang terbabit.

Yang Dipertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman, berkata beliau menggunakan kuasa dan pertimbangannya untuk menangguhkan mesyuarat berkenaan sambil berharap konflik yang berlaku dapat segera diredakan.

“Atas pertimbangan saya sebagai Yang Dipertua Dewan, untuk melincinkan DUN dan keadaan Negeri Sembilan ini, saya tangguhkan persidangan kali ini dan saya berharap sebelum bersidang akan datang, apa yang berlaku akan dapat dijernihkan,” katanya selepas istiadat perasmian itu.

Terdahulu dalam kenyataan bersama pada lewat malam 22 April, empat Undang terbabit iaitu Undang Sungai Ujong yang dilapor sudah dilucutkan jawatan, Datuk Mubarak Dohak; Undang Jelebu, Datuk Akhirulzaman Maarof Mat Rashad; Datuk Muhammad Abdullah (Johol); Datuk Abdul Rahim Yasin (Rembau); dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri, memaklumkan tidak akan menghadiri perasmian pembukaan Sidang DUN pada 23 April.

Malah, mereka menggesa upacara pembukaan DUN itu ditangguhkan sehingga seorang Yang di-Pertuan Besar baharu dilantik secara sah.

Keputusan itu dibuat menyusuli tindakan mereka mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz, pada 19 April lalu.

Ketika itu, empat Undang terbabit menggunakan kuasa mereka yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959, bagi menurunkan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar atas dakwaan salah laku yang tidak diperincikan.

Mereka turut menamakan Tunku Nadzaruddin, iaitu anak kepada Yang di-Pertuan Besar ke-10, Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman, sebagai pemerintah baharu berkuat kuasa serta-merta.

Walaupun Undang terbabit berkuasa melantik dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar, masalah timbul apabila seorang daripada empat Undang, iaitu Datuk Mubarak, dikatakan sudah dilucutkan jawatan sejak 13 Mei 2025, sekali gus menyebabkan pengisytiharan itu boleh dipertikaikan.

Dalam ucapan perasmian pembukaan DUN itu, Tuanku Muhriz menegaskan pentadbiran kerajaan negeri wajar diteruskan dan berfungsi seperti biasa bagi memastikan kelangsungan tadbir urus negeri berjalan dengan teratur serta memelihara kepentingan rakyat.

Beliau turut menegaskan ketidakhadiran pembesar negeri, iaitu empat Undang, yang lazimnya mengiringi beliau pada setiap perasmian persidangan DUN, tidak menjejas keabsahan mahupun kelancaran persidangan berkenaan.

“Saya berdoa kepada Allah swt supaya negeri dan rakyat terus diberikan kesejahteraan dan hidup dalam suasana harmoni melalui kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, bersama barisan Exco kerajaan negeri.

“Saya amat bersyukur kerana kerjasama kukuh dalam kerajaan terus menunjukkan prestasi yang amat cemerlang pada 2025,” tambah Tuanku Muhriz.