Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perlis negeri terbaru larang penjualan ‘vape’

May 14, 2025 | 5:01 PM
Perlis melaksanakan larangan penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau ‘vape’ bermula 1 Ogos ini.
Perlis melaksanakan larangan penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau ‘vape’ bermula 1 Ogos ini. - Foto fail NSTP

Malaysia semakin agresif dalam menangani ancaman kesihatan akibat rokok elektronik atau ‘vape’, dengan Perlis menjadi negeri terbaru menguatkuasakan larangan penjualan produk itu di pasaran negeri itu bermula 1 Ogos.

Menteri Besar Perlis, Encik Mohd Shukri Ramli, menjelaskan langkah itu diambil selepas mendapati penggunaan ‘vape’ memberi kesan negatif dan menjadi ancaman kepada golongan muda termasuk pelajar sekolah di negeri utara Malaysia itu.

Menyedari keputusan itu akan menjejas kira-kira 50 perniagaan ‘vape’ di Perlis, Encik Mohd Shukri memberi jaminan akan memberikan sokongan kepada pengusaha terlibat bagi membolehkan mereka membuka perniagaan baru yang lebih sesuai.

“Lesen perniagaan ‘vape’ mereka tidak akan diperbaharui dan akan ditamatkan berkuat kuasa 1 Ogos.

“Justeru, kami berharap agar pengusaha terlibat dapat bersiap sedia untuk mencari perniagaan baru sebelum tarikh pelaksanaan undang-undang baru itu,” katanya selepas mesyuarat Exco Perlis pada 14 Mei.

Langkah Perlis itu menyusuli Terengganu yang baru-baru ini mengumumkan penguatkuasaan sama bermula 1 Ogos, selain Kelantan dan Johor yang sudah melarang penjualan peranti elektronik itu sejak 2015.

Sebelum ini Perlis telah mengharamkan penggunaan ‘vape’ menyusuli keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 2022.

Malah, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia juga telah mengeluarkan fatwa yang mengharamkan penggunaan ‘vape’.

Di Malaysia, keputusan dan kuasa untuk mengharamkan penjualan dan penggunaan ‘vape’ diserahkan kepada kerajaan negeri.

Kementerian Kesihatan Malaysia hanya bertindak mengawal selia semua produk tembakau dan rokok elektronik mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Dianggarkan lebih 20,000 pelajar sekolah di Malaysia sudah terjebak dengan ketagihan menghisap ‘vape’ seawal usia lapan tahun.

Lebih membimbangkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mendedahkan bahawa penggunaan ‘vape’ kini turut menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik baru, dengan ada ‘vape’ dikesan mengandungi bahan dicampur dadah yang jika tidak dikekang boleh menjadi ancaman kesihatan baru di Malaysia.

Dengan statistik yang membimbangkan itu, Kementerian Pendidikan memperketatkan tindakan disiplin terhadap pelajar yang didapati melakukan kesalahan berulang menghisap ‘vape’ di sekolah, boleh digantung persekolahan selama 14 hari atau dibuang sekolah.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) turut menggesa kerajaan menguatkuasakan pengharaman ‘vape’ sebagaimana yang dilakukan Singapura.

Menurut Fomca, lebih 90 peratus pengeluaran dan pasaran produk ‘vape’ di Malaysia dikuasai syarikat yang bersekongkol dengan industri tembakau sejagat, sekali gus menjadikan ‘vape’ ancaman serius kepada kesihatan awam dan keselamatan negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg