Topik diikuti
Pergi ke BHkuJS-SEZ dijangka pacu permintaan rumah di Pasir Gudang
JS-SEZ dijangka pacu permintaan rumah di Pasir Gudang
Lebih banyak peluang kerja tarik ramai penduduk tinggal dekat pusat ekon, harga barangan terus meningkat
JS-SEZ dijangka pacu permintaan rumah di Pasir Gudang
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Encik Baharudin Mohamed Taib, menyeru Kerajaan Johor untuk mengkaji dan merancang kawasan penempatan baharu di Pasir Gudang, sebagai persediaan menghadapi peningkatan permintaan rumah, susulan perkembangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi yang dijangka dipacu JS-SEZ akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Johor, sekali gus menarik lebih ramai penduduk untuk bekerja dan menetap berhampiran kawasan perindustrian serta pusat ekonomi.
“Apabila JS-SEZ mula beroperasi, pertumbuhan ekonomi akan meningkat dan lebih ramai akan bekerja di Johor.
“Apabila ramai bekerja di sini (Pasir Gudang), sudah tentulah perumahan antara perkara yang paling utama.
“Sebab itu saya bersetuju dengan pandangan Menteri Besar Johor bahawa pembinaan rumah perlu dipercepat supaya kita tidak berdepan kekurangan rumah pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Menurut Encik Baharudin, kawasan seperti Pasir Gudang dijangka menyaksikan peningkatan permintaan terhadap kediaman kerana kebanyakan pekerja mahu tinggal berhampiran tempat mereka bekerja.
Beliau berkata keadaan itu memerlukan kerajaan negeri meneliti aspek perancangan pembangunan, termasuk pembahagian kawasan serta mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk dijadikan penempatan baharu.
Mengulas kemungkinan peningkatan kos sara hidup susulan pertumbuhan ekonomi, Encik Baharudin berkata faktor permintaan dan penawaran akan terus mempengaruhi harga barangan serta kos kehidupan rakyat.
“Apabila permintaan meningkat, harga juga akan meningkat.
“Oleh itu, kerajaan negeri perlu terus membantu rakyat, bukan hanya melalui bantuan sekali sahaja, tetapi dengan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi supaya mereka mempunyai pendapatan yang mampan,” katanya.
Beliau berkata antara langkah yang boleh dipertingkatkan ialah memperkasakan penjaja dan usahawan kecil kerana sektor itu bukan sahaja menyediakan peluang perniagaan, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
“Apabila lebih ramai peniaga kecil diwujudkan, lebih banyak peluang pekerjaan akan tersedia dan rakyat juga dapat menikmati barangan pada harga yang lebih berpatutan,” katanya.
Mengulas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di DUN Permas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Encik Baharudin berkata beliau akan terus mengekalkan prestasi perkhidmatan kepada rakyat yang menjadi faktor utama kejayaannya.
“Saya hanya akan terus mengekalkan prestasi yang telah saya lakukan dan berusaha menyelesaikan segala masalah yang masih belum dapat diselesaikan,” katanya.
Pada PRN Johor baru-baru ini, Encik Baharudin mencatat kemenangan dengan majoriti terbesar apabila memperoleh 51,274 undi untuk menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Cik Sharon Teo, yang meraih 21,769 undi.
Majoriti 29,505 undi itu merupakan peningkatan ketara berbanding majoriti 7,926 undi yang dicatatkannya pada PRN Johor 2022.