KUALA LUMPUR: Pemain industri rokok elektronik atau ‘vape’ di Malaysia memohon kerajaan negeri supaya mempertimbang semula larangan penjualan produk berkenaan.
Presiden Persatuan Peruncit Rokok Elektronik Malaysia (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas, berkata larangan penjualan ‘vape’ bercanggah dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Menurutnya, ini kerana akta berkenaan bertujuan memperkenal kawal selia yang menyeluruh dan berkesan terhadap ‘vape’ dan bukan larangan mutlak.
“Larangan menjual ‘vape’ bukan kaedah terbaik mengelak penggunaan oleh golongan bawah umur termasuk wanita.
“Sebaliknya, pelaksanaan peraturan ketat seperti yang digariskan Kerajaan Persekutuan lebih praktikal dan bertanggungjawab.
“Industri komited mematuhi semua peraturan ditetapkan termasuk had umur pembelian diperketatkan, penjualan di premis berlesen mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), produk berdaftar dan berlabel dengan amaran kesihatan serta larangan iklan promosi menyasarkan remaja,” katanya, lapor Harian Metro.
Beberapa negeri di Malaysia menguatkuasakan larangan penjualan ‘vape’ termasuk Perlis, Terengganu, Kelantan dan Johor.
Di Malaysia, keputusan dan kuasa untuk mengharamkan penjualan dan penggunaan ‘vape’ diserahkan kepada kerajaan negeri.
Mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, pada 17 April bahawa 65 peratus produk ‘vape’ mengandungi dadah, Datuk Adzwan mendakwa perangkaan terbabit merujuk kepada jumlah rampasan dalam operasi polis yang menyasarkan sindiket dadah, bukan dari premis sah yang menjual produk ‘vape’ berdaftar.
“Maka, ia tidak wajar dijadikan asas menggubal dasar atau melaksanakan larangan menyeluruh.
“Kerajaan harus sedar masalah utama timbul berkaitan produk ‘vape’ sering berpunca daripada penyalahgunaan produk tidak sah, bukan produk yang didaftarkan dan dikawal selia KKM.
“Justeru, penyelesaian bukanlah melalui larangan, tetapi melalui pendidikan, penguatkuasaan dan kerjasama,” katanya.
Beliau mendakwa produk ‘vape’ yang mengandungi dadah sintetik seperti ‘mushroom’ dan ‘THC’ tidak dijual di kedai ‘vape’ berdaftar, sebaliknya diperoleh di pasaran gelap.
Justeru, katanya, adalah tidak wajar apabila kedai ‘vape’ dilarang menjual oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“MRECA sudah laporkan penjualan dadah secara terang-terangan di platform dalam talian kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), namun iklan masih berleluasa di Facebook.
“Kawal selia akan menjadi lebih mudah jika ada data pekedai yang terlibat.
“Selain itu, tindakan seperti menarik balik lesen boleh dilakukan jika ada bukti sahih berlakunya penjualan ‘vape’ kepada bawah umur atau melanggar syarat ditetapkan KKM,” ujarnya.
Menurutnya, mana-mana produk ‘vape’ hendak dijual dalam pasaran disyaratkan mendapat kelulusan pendaftaran daripada KKM terlebih dahulu dan proses terbabit masih berjalan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg