Persiapan Raya rancak di Johor, warga S’pura ‘serbu’ pusat beli-belah
Persiapan Raya rancak di Johor, warga S’pura ‘serbu’ pusat beli-belah
Tempahan baju tradisional, cuci kereta dan rawatan kecantikan meningkat pada hujung Ramadan
Berbaki kira-kira seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri, suasana di bandar Johor Bahru semakin rancak apabila warga Singapura dilihat mula berpusu-pusu ke pusat beli-belah dan kawasan tumpuan niaga seperti Angsana Johor Bahru serta Larkin bagi melengkapkan persiapan Raya.
Daripada tempahan baju Melayu tradisional, servis kenderaan, cuci kereta hinggalah rawatan rambut, pelbagai perniagaan di Johor kini menerima lonjakan pelanggan dari seberang Tambak, khususnya pada hujung minggu dan waktu malam selepas berbuka puasa.
Bagi ramai warga Singapura, Johor Bahru bukan sekadar destinasi membeli-belah, malah menjadi pilihan utama untuk mendapatkan barangan dan khidmat persiapan Hari Raya pada harga yang dianggap lebih berpatutan, di samping mutu kerja yang sukar diperoleh di negara sendiri.
Pakaian tradisional jadi tumpuan
Pemilik kedai jahitan jenama Teluk Belanga, Encik Jamil Sukaimi, 60 tahun, berkata tempahan bagi baju Melayu Johor, khususnya yang menggunakan jahitan tangan, telah diterima sejak pertengahan 2025 lagi.
“Kita sebenarnya sudah mula ambil tempahan Hari Raya tahun ini (2026) sejak Jun 2025.
“Untuk baju Teluk Belanga, terutama yang ada jahitan tangan, prosesnya memang makan masa sebab semua perlu dibuat dengan teliti dan kemas.
“Sekarang pun masih ada tempahan yang belum selesai, terutama yang masuk pada hujung tahun lalu (2025).
“Yang tempah awal seperti Jun, Julai dan Ogos, kebanyakannya sudah mula datang ambil,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH) di kedainya di Larkin.
Menurut beliau, pelanggan kini juga sudah diingatkan supaya menempah lebih awal untuk Hari Raya tahun depan (2027) memandangkan Aidilfitri semakin jatuh ke tarikh lebih awal saban tahun.
“Kalau nak tempah untuk 2027, saya sudah pesan kepada pelanggan supaya mula hantar seawal Mei ini. Kita akan tutup tempahan sekitar November sebab bila puasa makin awal, tempahan pun mesti dimulakan lebih awal.
“Cabaran paling besar adalah kebanyakan tukang jahit tangan yang mahir ini terdiri daripada golongan berusia, dalam lingkungan 60-an tahun.
“Jadi kerja halus macam ini memang perlukan masa dan tumpuan. Sebab itu kita terpaksa hadkan jumlah tempahan,” katanya.
Encik Jamil berkata baju yang dijahit sepenuhnya dengan tangan boleh mengambil masa antara tiga dengan empat bulan bagi sepasang, lebih-lebih lagi untuk pakaian wanita yang mempunyai potongan lebih panjang.
“Kalau tempahan biasa, pelanggan bawa kain sendiri dan hanya buat leher tulang belut tanpa jahitan tangan sepenuhnya, upah bermula sekitar RM200 ($64). Kalau guna kain kedai, harganya bermula sekitar RM450,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan pelanggan dari Singapura merupakan antara golongan yang paling menghargai kehalusan seni jahitan tradisional itu.
“Ramai pelanggan Singapura datang sebab mereka mahu jahitan yang susah nak dapat di sana.
“Sebenarnya bukan di Singapura sahaja, di Kuala Lumpur pun ada yang hantar ke sini. Johor ini antara tempat yang masih ada tukang jahit lama yang buat kerja macam ini.
“Pelanggan Singapura juga biasanya lebih peka dan lebih awal menempah.
“Mereka tidak tunggu sampai Ramadan baru nak fikir. Selalunya pertengahan tahun lagi mereka sudah hantar,” ujarnya.
Sementara itu, pelanggan setianya selama kira-kira 40 tahun, Encik Ismail Riduwan, 67 tahun, yang bekerja di sebuah hospital di Singapura, berkata beliau terus memilih khidmat jahitan Encik Jamil kerana yakin dengan kejujuran dan mutu kerjanya.
“Saya kenal dia sejak dia berniaga kecil-kecilan lagi. Sampai hari ini saya masih buat baju dengan dia sebab dia jujur, merendah hati dan hasil kerjanya memang sangat baik.
“Saya pernah cuba beberapa tukang jahit lain, tetapi tidak sama. Ada tempat lain, lebihan kain mahal saya pun boleh hilang entah ke mana. Dengan Jamil, saya percaya. Itulah sebabnya saya terus kekal sebagai pelanggan,” katanya.
Encik Ismail berkata setiap tahun beliau akan menempah sekurang-kurangnya tiga pasang baju untuk Hari Raya, dan ada masanya untuk majlis perkahwinan ahli keluarga.
“Di Singapura memang susah nak dapat jahitan begini, terutama tulang belut yang kemas. Kalau ada pun, harganya jauh lebih tinggi dan mutunya belum tentu sama,” jelas beliau.
Bengkel kereta ligat beraksi
Dalam pada itu, demam persiapan Hari Raya bukan hanya dirasai di kedai jahit.
Di bengkel Redwork Motorsport, pemiliknya, Encik Mohd Azmi Abd Jalil, 41 tahun, berkata pelanggan dari Singapura mula meningkat terutama menjelang hujung Ramadan.
“Setakat ini memang ramai juga pelanggan dari Singapura datang, terutama pada Khamis, Jumaat dan Sabtu.
“Biasanya mereka datang untuk servis berkala, periksa bahagian bawah kenderaan dan penyaman udara.
“Awal puasa belum begitu sibuk, tetapi bila masuk pertengahan Ramadan, memang kita nampak peningkatan.
“Sekarang pun sudah banyak janji temu yang dibuat sampai ke hujung bulan puasa,” katanya.
Beliau berkata harga perkhidmatan di bengkelnya dikekalkan seperti biasa meskipun permintaan meningkat.
“Kita kekalkan harga, tidak naikkan sempena musim perayaan. Itu yang buat pelanggan puas hati. Maklum balas pun baik, dan kita cuba selesaikan semua masalah kenderaan dengan sebaik mungkin.
“Dalam sehari, paling kurang kita boleh uruskan sekitar lapan kenderaan dengan pelbagai jenis kerja, termasuk servis biasa, brek, penyaman udara dan bahagian bawah kenderaan,” katanya.
Salah seorang pelanggannya, Encik Muhammad Khaleej Mun Chee, 38 tahun, berkata beliau menghantar keretanya untuk diservis lebih awal bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum digunakan untuk perjalanan jauh selepas Aidilfitri.
“Saya datang untuk jaga penyaman udara, pusing tayar dan buat servis biasa supaya kereta dalam keadaan elok kalau nak jalan jauh nanti.
“Kami biasanya balik kampung atau berjalan jauh pada minggu kedua atau ketiga Hari Raya. Jadi saya lebih suka buat semua ini seminggu sebelum Ramadan habis, supaya tak kelam-kabut,” jelasnya.
Menurut beliau, sebahagian besar persiapan Hari Raya keluarganya sudah dibuat lebih awal, dengan pembelian dibahagikan antara Singapura dengan Malaysia.
“Separuh barang kami beli di Singapura, separuh lagi di Malaysia.
“Memang di Malaysia lebih murah. Tahun ini (2026) pun saya rasa lebih ramai orang Singapura datang beli barang Raya di Johor sebab harga di sana makin naik,” katanya.
Kereta dirapi dan dicuci
Di pusat cuci kenderaan Legend Car Wash pula, pengurusnya, Encik Ramesh D Ponnayah, 57 tahun, berkata corak kedatangan pelanggan berubah sepanjang Ramadan, dengan waktu malam menjadi tempoh paling sibuk.
“Awal bulan puasa, waktu siang agak perlahan sedikit. Tetapi malam memang ramai, terutama lepas berbuka. Ada yang datang cuci kereta sebelum balik ke Singapura, ada juga yang ambil khidmat gilap dan rawatan lain.
“Biasanya bila makin dekat Raya, memang lagi ramai. Ramai pelanggan kata mereka mahu habiskan membeli-belah dulu, kemudian baru datang cuci kereta.
“Harga kami masih sama, tak ada kenaikan. Paling murah RM12 untuk cuci biasa, manakala kenderaan lebih besar seperti van penumpang boleh sampai RM30.
“Walaupun pelanggan tempatan ada, kebanyakannya memang dari Singapura,” katanya.
Bagi pelanggan dari Woodlands, Encik Syarif Noor, 30 tahun, dan rakannya, Encik Sharizam Khairul Nizam, 31 tahun, sebahagian besar persiapan Hari Raya sudah diselesaikan sebelum Ramadan lagi.
“Kuih, baju Raya dan sampul duit Raya semua dah ‘settle’ sebelum puasa. Yang belum mungkin hiasan rumah sahaja. Tahun ini (2026) kami berbelanja kurang sedikit, terutama untuk baju dan kuih,” kata Encik Syarif.
Menurutnya, Johor Bahru kini menjadi pilihan lebih menarik berbanding lokasi membeli-belah popular di Singapura.
“Saya rasa apa sahaja yang boleh dibeli di sini, lebih berbaloi berbanding di Geylang.
“Sekarang pun ramai orang cakap harga di sana sudah naik, jadi orang Singapura memang cenderung datang ke Johor untuk beli barang Raya,” katanya.
Rakannya, Encik Sharizam, pula berkata mereka tidak menetapkan jumlah bajet khusus, sebaliknya berbelanja mengikut keperluan.
“Kami biasanya ikut keadaan. Tapi memang tahun ini (2026) kami cuba berjimat. Walaupun begitu, kalau beli di Johor, masih rasa lebih berbaloi,” tambahnya.
Sambut Raya, rambut bergaya
Sementara itu, sektor dandanan diri turut menerima tempias kemeriahan menjelang Aidilfitri.
Pemilik salun wanita, Nawraa17 Hair Studio, Cik Nur Farah Ezza Md Mujahid, 33 tahun, berkata tempahan meningkat ketara dalam tempoh dua minggu terakhir Ramadan.
“Bila masuk dua minggu terakhir sebelum Raya, memang ramai. Janji temu dari pagi sampai petang penuh.
“Pada hari biasa sebelum ini agak perlahan sedikit, tetapi hujung minggu memang sentiasa sibuk sebab ramai pelanggan dari Singapura datang,” katanya.
Salunnya yang mempunyai tujuh pekerja mampu mengendalikan sekitar 35 pelanggan sehari pada waktu sibuk.
“Kita memang kerja pantas, tetapi tetap jaga mutu. Itu sebab ramai pelanggan tetap suka datang sini. Ada yang datang dua kali sebulan.
“Kalau gunting rambut, biasanya dalam 15 hingga 20 minit sudah siap.
“Kalau rawatan kimia seperti meluruskan rambut, harga bermula sekitar RM200, manakala rawatan keratin boleh mencecah RM500 bergantung pada berapa panjang rambut pelanggan itu.
“Pelanggan Singapura kebanyakannya pelanggan tetap. Mereka suka buat tempahan lebih awal pada bulan puasa sebab tak mahu datang jauh-jauh tetapi tak dapat giliran,” katanya.
Salah seorang pelanggan, Cik Aishah Tahir, 33 tahun, berkata beliau singgah ke salun itu ketika menemani ahli keluarga membeli pakaian Raya di Angsana.
“Alhamdulillah, baju dan kuih Raya saya semua dah dapat. Hari ini saya ikut abang dan kakak ipar cari baju, jadi sementara mereka berjalan-jalan, saya ambil peluang buat rawatan rambut di sini.
“Pada saya, harga di sini jauh lebih murah berbanding di Singapura, dan layanannya pun sangat baik.
“Ini kali pertama saya cuba buat rawatan rambut di sini dan saya memang kagum dengan khidmat yang diberikan,” ujarnya.

