Pertaruhan, cabaran berat Naib Presiden PAS teraju PN
Pengamat: Kepimpinan Ahmad Samsuri yang sederhana mampu jadi jambatan baru dalam hubungan dua hala M’sia-S’pura
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baru dilantik, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mungkin memenuhi kriteria sebagai pemimpin profesional yang mampu meningkatkan sokongan golongan bukan Melayu terhadap blok politik itu.
Namun, Naib Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang mendapat restu melepasi dua jawatan tertinggi dalam PAS untuk menggalas peranan Pengerusi PN itu dijangka berdepan cabaran besar dalam memimpin gabungan pembangkang berkenaan.
Pemerhati politik berpendapat Menteri Besar Terengganu itu perlu mengambil langkah kritikal segera bagi menentukan hala tuju PN, terutama ketika parti komponen utamanya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bergelut dengan konflik dalaman yang berpotensi menambah kerumitan dalam kepimpinannya.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berpandangan pelantikan Datuk Ahmad Samsuri, yang lebih mesra disapa Dr Sam, sebagai Pengerusi PN itu dilihat ‘kurang tepat’ dan bakal menyukarkan kepimpinannya.
Namun, PN tiada pilihan mengetengahkan tokoh ini yang boleh mengimbangi imej sederhana mantan Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini.
“Dari aspek personaliti saya bersetuju imej Dr Sam yang dilihat lebih sederhana dan mesra bukan Muslim mungkin menjadi pertimbangan utama dalam pemilihannya sebagai Pengerusi PN.
“Namun persoalannya, bagaimana Presiden parti komponen lain dalam PN mahu menerima satu kata putus daripada seorang Naib Presiden dalam mesyuarat PN akan datang?” katanya kepada Berita Harian (BH).
Selain PAS, PN turut dianggotai Bersatu yang diketuai Presiden, Tan Sri Muhyiddin; Parti Gerakan Rakyat Malaysia dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Datuk Ahmad Samsuri dinamakan sebagai Pengerusi PN yang baru pada 22 Februari lalu, selepas hampir dua bulan Tan Sri Muhyiddin yang menerajui gabungan pembangkang itu selama lima tahun sejak 2020, meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Beliau dinamakan selepas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menolak jawatan itu atas faktor kesihatan.
Dr Mohammad Tawfiq berpandangan pelantikan Datuk Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN hanya menyelesaikan isu jawatan, namun tidak mengambil kira keperluan jangka panjang, terutama ketika Pilihan Raya Negeri Johor dan Melaka semakin menghampiri.
“Bagi saya, keputusan memilih seorang Naib Presiden parti berbanding Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, untuk menerajui PN dianggap janggal sedangkan Datuk Tuan Ibrahim lebih berpengalaman,” katanya.
Menurutnya, Pengerusi PN perlu setanding dengan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika mahu membawa momentum mencabar kerajaan pada pilihan raya akan datang.
“Jika tidak setanding dan hanya berbekalkan pengalaman sebagai menteri besar, sejauh mana Dr Sam mampu menyaingi panglima PH dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang?” katanya.
Namun, kata Dr Mohammad Tawfik, cabaran paling hampir buat Datuk Ahmad Samsuri untuk memastikan beliau dapat menerajui PN dengan baik, ialah meredakan ketegangan PAS dan Bersatu yang melarat sejak peralihan kepimpinan Menteri Besar Perlis daripada PAS kepada Bersatu pada Disember 2025.
Beliau juga perlu segera menyelesaikan konflik dalaman Bersatu yang jika tidak ditangani, akan memberi natijah kepada PN.
“Isu hubungan Bersatu dengan gabungan lain serta konflik dalaman parti yang melibatkan kem Tan Sri Muhyiddin dan kem Timbalan Presiden yang dipecat, Datuk Seri Hamzah, perlu segera diselesaikan.
“Jika ketelusan dan kejujuran dapat dizahirkan, ia mampu membantu Dr Sam mengemudi PN.
“Perpecahan dalaman perlu segera didamaikan, termasuk mencari jalan supaya kumpulan tertentu tidak kira kem Tan Sri Muhyiddin atau Datuk Hamzah, tidak dipinggirkan,” katanya.
Menurut beliau, tanpa langkah penyelesaian segera, tiada pembaharuan ketara yang dapat dibawa oleh kepimpinan baru PN.
Sementara itu, mengulas daripada sudut hubungan dan dasar luar negara, Profesor Kehormat Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, berpandangan pelantikan Datuk Ahmad Samsuri dijangka diterima secara positif oleh Singapura.
Beliau berpandangan pendekatan Datuk Ahmad Samsuri yang dilihat kurang ekstrem berbanding sebahagian kepimpinan PAS yang tebal dengan imej Islamik, boleh memberi ruang lebih positif dalam interaksi politik PN dengan negara serantau terutama Singapura.
“Ia sepatutnya sesuatu yang menggalakkan. Kepimpinan Datuk Ahmad Samsuri yang lebih profesional dan sederhana berpotensi memberi keyakinan kepada pemain politik di Singapura terhadap hala tuju PN di bawah kepimpinan baru itu.
“Bagi saya hubungan politik PN sebagai pembangkang dengan Singapura asasnya sudah baik dan ia boleh dilihat ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mengadakan lawatan kerja ke negara itu pada 2025.
“Saya yakin imej sederhana teknokrat dan pakar aeroangkasa itu berpotensi menjadi jambatan baru dalam hubungan dua hala Malaysia-Singapura.
“Ia sedikit sebanyak memperlihatkan wajah profesional dalam PAS dan boleh membuka laluan lebih baik kepada PN untuk berinteraksi dengan rakan politik di Singapura,” katanya.

