Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertikaian kes kebun durian haram di Pahang selesai

Dec 5, 2025 | 12:43 PM
Sultan Abdullah Ahmad Shah, pahang, kebun durian
Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah (dua dari kanan), meninjau lokasi pencerobohan tanah yang ditanam pelbagai jenis pokok durian di Raub, Pahang. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Pertikaian undang-undang antara pekebun durian kontroversi di Raub, Pahang, dengan Kerajaan Pahang dan beberapa agensi berhubung notis pengusiran, berakhir pada 4 Disember apabila pekebun berkenaan menarik balik rayuan mereka.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Lim Chong Fong membatalkan rayuan itu selepas peguam pekebun terbabit, Encik Brendan Navin Siva, memaklumkan anak guamnya tidak akan meneruskan rayuan.

Turut bersidang ialah Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dan Datuk Ismail Brahim.

Sebelum ini, isu pencerobohan tanah kerajaan untuk kegiatan penanaman durian Musang King secara haram oleh segelintir pekebun telah mendapat perhatian Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah.

Sultan Abdullah menzahirkan rasa terkejut apabila dimaklumkan keluasan kira-kira 10,521 hektar tanah di Raub diceroboh secara haram sejak sekian lama untuk penanaman durian.

Dalam pada itu, Encik Brendan turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa beberapa responden termasuk Kerajaan Pahang dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) menuntut kos.

Penolong Penasihat Undang-Undang Pahang, Encik Abdul Hafiz Razat, pula memberitahu mahkamah kerajaan negeri menuntut kos bagi kerja-kerja berkaitan rayuan kes itu.

Peguam PKPP, Encik Mohd Fairuz Abdullah, berkata anak guamnya juga menuntut kos kerana mereka telah meneliti rekod rayuan.

Datuk Lim kemudian memberikan kos guaman RM8,000 ($2,516) kepada Pentadbir Tanah Daerah Raub; Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang; pihak berkuasa negeri; Kerajaan Pahang dan PKPP, manakala Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd tidak menuntut kos.

Pada 2024, Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang, menolak permohonan semakan kehakiman pekebun haram terbabit untuk mencabar arahan kerajaan negeri mengusir mereka keluar dari kebun di kawasan Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau dan Tranum.

Hakim Datuk Seri Mohd Radzi Harun memutuskan keputusan responden untuk mengeluarkan notis pengusiran itu dibuat selaras keperluan undang-undang dan tidak dicemari oleh unsur tidak rasional atau tidak sah, mahupun sebarang niat jahat.

Beliau memberikan kos berjumlah RM200,000 kepada Pentadbir Tanah Daerah Raub; Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang; pihak berkuasa negeri dan Kerajaan Pahang, serta kos masing-masing sebanyak RM200,000 kepada PKPP dan Royal Pahang Durian Resources.

Pekebun terbabit memfailkan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan notis pengusiran yang dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang dan PKPP.

Mereka turut memohon perintah mandamus (perintah mahkamah) bagi memaksa Pentadbir Tanah Daerah Raub dan Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang untuk memberi pajakan bagi tanah terbabit kepada pekebun atau wakil yang mereka namakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg