KUANTAN (Pahang): Lebih 10,000 hektar kawasan durian haram di Raub, Pahang, disekat laluan keluar masuk dengan 45 individu telah ditahan, bagi membanteras pencerobohan tanah kerajaan atau Hutan Simpan Kekal (HSK) secara haram di negeri pantai timur itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kawasan seluas 104 hektar tanaman durian haram di HSK Gunung Benom, Raub, pula sudah ditebang hasil Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Durian Haram Raub atau Ops Sekat.
Beliau berkata operasi sejak 25 Julai lalu menahan 45 individu membabitkan 20 kes kesalahan mengikut Kanun Tanah Negara, Akta Perhutanan Negara, Akta Imigresen serta Akta Senjata.
“Tangkapan ini membuktikan pendirian jelas kerajaan negeri Pahang yang tidak berlembut dengan mana-mana pihak yang berdegil menceroboh tanah kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada 27 Julai, lapor Harian Metro.
Datuk Wan Rosdy berkata Ops Sekat mula dilaksanakan pada 25 April lalu, selepas Mahkamah Tinggi Kuantan menolak semakan kehakiman oleh 186 pekebun, dan keseluruhan 129 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dengan 12 kes dibawa ke mahkamah.
“Sebahagian daripada mereka dijatuhi hukuman termasuk denda sehingga RM200,000 ($60,729) dan penjara maksimum 12 bulan. Hukuman ini adalah amaran jelas bahawa negeri Pahang tidak akan sesekali tunduk kepada penceroboh,” katanya.
Datuk Wan Rosdy juga berkata pelbagai agensi terbabit operasi termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Raub, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
“Kerajaan negeri mengingatkan semua pihak bahawa tanah kerajaan dan Hutan Simpan Kekal adalah khazanah negeri yang wajib dipelihara.
“Sebarang cubaan untuk menceroboh, menanam atau mengaut keuntungan secara haram adalah satu perbuatan jenayah dan tindakan paling tegas akan dikenakan tanpa pengecualian, malah tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang menceroboh.
“Tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang dan tindakan tegas akan diteruskan sehingga kegiatan ini dihapuskan sepenuhnya,” katanya.
Pencerobohan HSK dengan tanaman durian secara haram oleh ratusan pekebun di Pahang mendapat perhatian Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, sebelum ini.
Beliau menyatakan rasa amat terkejut dan dukacita dengan skala pencerobohan HSK di Pahang yang begitu besar dengan penanaman durian secara haram, bersamaan kira-kira 14,700 padang bola sepak.
Sultan Pahang mengarahkan pihak berkuasa negeri Pahang mengambil tindakan tegas bagi menoktahkan kes pencerobohan HSK di negeri itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg