Kerajaan Malaysia perlu segera mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok elektronik, atau ‘vape’, kerana ia telah menjadi ‘nyawa kedua’ kepada industri tembakau di Malaysia dan semakin berkembang.
Setiausaha Agung Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Encik Muhammad Sha’ani Abdullah, berkata ‘vape’ kini digunakan sebagai alat untuk meneruskan kelangsungan industri itu di tengah tekanan dasar dan kepentingan kesihatan awam, terutama dengan menyasarkan remaja sebagai penggunanya.
Lebih membimbangkan katanya ‘vape’ kian menular sebagai pembuka pintu untuk golongan muda terjerat ke kancah penagihan dadah.
Kajian turut membongkar kegiatan jahat pemain industri menerusi penemuan campuran ammonia dalam cecair ‘vape’ bagi meningkatkan ketagihan terhadap nikotin.
Beliau berkata kelewatan kerajaan bertindak mengharamkan ‘vape’ hanya akan memberi ruang kepada peningkatan ketagihan, eksploitasi remaja, kerugian sosial dan ancaman jenayah terancang dalam rantaian pengeluaran, pengedaran dan pemasaran produk ‘vape’ di Malaysia.
“’Vape’ adalah alat yang digunakan industri tembakau untuk terus berkembang dan kami menyeru pengharamannya selaras komitmen negara terhadap ‘Penamat Merokok 2040’,” katanya pada sidang media sempena Hari Antidadah Sedunia di Kuala Lumpur, pada 26 Jun.
Encik Muhammad Sha’ani menambah kerajaan Malaysia tidak wajar lagi menunda pengharaman ‘vape’ kerana kadar penggunaannya dalam kalangan remaja kini semakin meningkat kepada lebih 20 peratus, berbanding hanya sekitar 3 hingga 4 peratus pada 2016.
“Pada 2016, atas desakan pihak karyawan kesihatan dan badan bukan kerajaan yang bimbangkan kesan buruk ‘vape’, Kementerian Kesihatan telah mengesyorkan kepada jemaah menteri supaya ‘vape’ diharamkan.
“Namun ia mendapat tentangan dan akhirnya kerajaan hanya memutuskan untuk ia dikawal selia.
“Tetapi, sejak 2016 sehingga sekarang, apa yang dihadapi adalah penularan mendadak penggunaan ‘vape’ dalam kalangan remaja.
“Kita juga mendengar rampasan dilakukan pihak berkuasa terhadap bahan cecair ‘vape’ yang dicampur dengan dadah adalah tinggi dan ini amat merisaukan. Jadi tidak ada asas untuk ‘vape’ terus berada di pasaran,” katanya.
Encik Muhammad Sha’ani turut menarik perhatian terhadap penyalahgunaan fakta saintifik secara berterusan oleh pihak industri ‘vape’ apabila ia dipromosikan sebagai 95 peratus kurang berbahaya kepada kesihatan berbanding rokok konvensional.
“Ia telah disalah tafsir dan dimanipulasi pihak industri ‘vape’ secara meluas untuk menggambarkan ‘vape’ sebagai produk yang hampir selamat tanpa risiko kesihatan.
“Sedangkan fakta sebenar ialah 95 peratus kurang berbahaya itu hanyalah khusus kepada konteks penggunaan ‘vape’ sebagai alat menyokong usaha berhenti merokok di bawah pengawasan perkhidmatan berhenti merokok secara rasmi (klinik berhenti merokok),” katanya.
Encik Muhammad Sha’ani turut mendesak kerajaan bukan saja mengharamkan penjualan ‘vape’, malah semua bentuk promosi dan iklan yang menggalakkan penggunaannya, penjualan dalam talian serta larangan menjemput pemain industri ‘vape’ dalam perbincangan untuk sebarang rundingan mengenai ‘vape’.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg