Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerwakilan DAP mahu parti kekal dalam Kerajaan Persekutuan
Mandat jelas kepimpinan parti untuk terus berjuang daripada dalam kerajaan, ganda usaha laksana pembaharuan
JOHOR BAHRU: Seramai 1,857 perwakilan Parti Tindakan Demokratik (DAP) atau 88.2 peratus daripada undi sah menyokong usul supaya parti itu kekal dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen semasa.
Sebaliknya, 242 perwakilan atau 11.5 peratus mengundi supaya DAP keluar daripada kerajaan.
Demikian menurut keputusan usul yang dibentangkan pada Persidangan DAP 2026.
Naib Pengerusi DAP Johor, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali, berkata keputusan itu memberi mandat jelas kepada kepimpinan parti untuk terus berjuang daripada dalam kerajaan, khususnya selepas timbul desakan supaya kedudukan DAP dalam Kerajaan Madani dinilai semula susulan tiga pilihan raya negeri.
“Angka 1,857 ini memberikan mandat yang sangat jelas; jangan keluar, teruskan perjuangan dari dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada 16 Ogos.
Menurut kenyataan itu, seramai 2,223 perwakilan menghadiri persidangan berkenaan dengan 2,099 undi sah direkodkan, selain tujuh kertas undi rosak.
Sheikh Umar, yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, berkata keputusan tersebut membawa empat mesej utama kepada kepimpinan dan hala tuju parti.
Pertama, katanya, keputusan itu merupakan penegasan semula mandat ahli kepada kepimpinan DAP supaya kekal dalam Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata walaupun terdapat suara yang menggesa parti menilai semula kedudukannya dalam kerajaan, majoriti besar perwakilan memilih supaya DAP terus menggunakan kedudukannya dalam pentadbiran untuk membawa perubahan.
Namun, Sheikh Umar menegaskan sokongan berkenaan tidak bermakna anggota parti memberikan ‘cek kosong’ kepada pemimpin DAP yang memegang jawatan dalam kerajaan.
“Sepanjang perbahasan, persoalan prestasi dan kemampuan DAP untuk berperanan merealisasikan reformasi menjadi topik penting.
“Jadi, kedudukan DAP selepas ini lebih tepat difahami sebagai ‘kekal dalam kerajaan tetapi melipatgandakan usaha demi perubahan dasar’,” katanya.
Menurut beliau, angka 88.2 peratus turut menunjukkan sokongan kukuh terhadap keputusan untuk kekal dalam kerajaan, terutama selepas wujud spekulasi sebelum persidangan bahawa DAP mungkin mempertimbangkan untuk menarik diri.
“Hampir sembilan daripada setiap 10 undi sah memilih untuk kekal,” katanya.
Sheikh Umar menambah, keputusan itu juga mempunyai kesan terhadap kestabilan Kerajaan Persekutuan memandangkan DAP mempunyai 40 kerusi di Parlimen.
Menurutnya, sokongan besar perwakilan terhadap usul tersebut mengurangkan ketidaktentuan mengenai kemungkinan perubahan dalam kedudukan DAP sebelum pilihan raya umum akan datang.
“Keputusan hari ini mencerminkan pengukuhan struktur sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan mengurangkan ketidaktentuan mengenai kemungkinan perubahan politik sebelum pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata mandat untuk kekal dalam kerajaan perlu disertai dengan usaha lebih bersungguh-sungguh dalam melaksanakan pembaharuan dan mempertahankan prinsip parti.

