KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat sejarah sebagai negara pertama di dunia yang akan mengagihkan Kad Nusuk kepada jemaah haji sebelum berlepas ke Makkah, bagi musim haji 2025 ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata langkah tersebut dapat mengelak sebarang penipuan pakej haji, selain pengiktirafan besar kerajaan Arab Saudi terhadap kecekapan sistem pengurusan haji Malaysia.
“Kalau pada 2024, jemaah haji akan terima Kad Nusuk ini di tanah suci, iaitu ketika sampai di sana. Tetapi alhamdulillah pada 2025 ini, hasil daripada kepercayaan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Malaysia telah diberi pengiktirafan untuk menjadi negara perintis.
“Jadi, secara tak langsung Kad Nusuk ini merupakan satu tanda bahawa seseorang jemaah itu telah melalui proses yang sah,” katanya, lapor Berita RTM.
Beliau berkata demikian selepas lawatan ke Unit Proses Haji di Ibu Pejabat Tabung Haji di Kuala Lumpur, pada 22 April.
Kad Nusuk akan diedarkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di balai berlepas induk, Movenpick Hotel & Convention Centre, sebelum jemaah di bawah pengurusan TH dan Pengelola Jemaah Haji (PJH) berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan seterusnya ke tanah suci.
Pengagihan kad berkenaan melibatkan kerjasama syarikat Masyariq Masiah, penyedia perkhidmatan dan kemudahan untuk jemaah Malaysia di tanah suci, yang telah terjalin lebih tiga dekad.
Menurut Datuk Mohd Na’im sekiranya inisiatif tersebut berjaya, ia berpotensi diperluaskan ke negara-negara Islam lain pada masa depan.
Dalam pada itu, Datuk Mohd Na’im berkata persediaan operasi haji bagi 2025 juga berada pada tahap hampir 100 peratus.
Lembaga TH turut menggerakkan seramai 632 petugas haji, merangkumi petugas kebajikan, petugas perubatan serta beberapa agensi luar berkaitan untuk memastikan kelancaran dan kebajikan jemaah Malaysia di Makkah.
Kata Datuk Mohd Na’im sehingga kini, sebanyak 45 peratus visa daripada keseluruhan kuota 31,600 jemaah Malaysia telahpun dikeluarkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg