MELAKA: Pakatan Harapan (PH) memilih untuk mengitar semula kira-kira 10,000 bendera yang digunakan sebelum ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan untuk kempen PRN Melaka ke-16, tidak lama lagi.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Melaka, Encik Khoo Poay Tiong, berkata tindakan menggunakan semula bendera berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan pembaziran.

Malah katanya, ia juga menjadi usaha PH menjaga alam sekitar sepanjang persiapan menghadapi pilihan raya.

“Pusat operasi kami menerima kira-kira 10,000 bendera PH yang boleh digunakan semula untuk PRN Melaka.

“Kami mungkin tidak sekaya parti lain, tetapi kita boleh kurangkan pembaziran dan jaga alam sekitar. Guna semula, kurangkan pembaziran,” katanya menerusi hantaran di media sosial, lapor portal berita MalaysiaGazette.

Fenomena ‘perang bendera’ menjadi kelaziman pada setiap kali pilihan raya, dengan parti politik menggunakan segala kreativiti untuk mengibarkan bendera parti sebagai antara usaha menarik pengundi.

Dalam masa sama, Encik Khoo turut mengingatkan semua ahli PH terutama pihak yang terlibat dalam menghasilkan rekaan, untuk memastikan bendera Malaysia dan bendera negeri Melaka digunakan dengan betul.

Peringatan itu berikutan beliau mengesan kesilapan pada hantaran Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Alor Gajah, Melaka.

“Kita faham sekarang ramai gunakan AI (kecerdasan buatan) untuk membantu menghasilkan design (rekaan). Tetapi setiap hasil tetap perlu disemak dan diperiksa dengan teliti sebelum dimuat naik,” katanya di Facebook.

Beliau turut dilihat memberi kenyataan berbaur sindirian kepada Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh, yang dikenali sebagai seorang yang lantang mengkritik setiap isu kesilapan bendera berlaku.

“Kepada sesiapa yang mengenali pentadbir akaun Facebook tersebut, tolong maklumkan kepada mereka supaya boleh diperbetulkan.

“Tapi jangan sampai marah-marah mereka seperti Akmal pula,” katanya.

Pada 22 September, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa 23 September, bagi memberi laluan kepada PRN Melaka.

Pada PRN Melaka ke-15, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.