Ahli Dewan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) Johor menggesa kerajaan negeri memberikan penjelasan terperinci mengenai rasional pelantikan 10 Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Negeri atau Timbalan Exco, termasuk aspek keperluan, bidang kuasa, implikasi kewangan serta petunjuk prestasi jawatan berkenaan.

Dalam satu kenyataan bersama pada 23 Julai, mereka berkata setiap dasar dan keputusan pentadbiran perlu dinilai berdasarkan tiga prinsip utama tadbir urus yang baik, iaitu keperluan, keberkesanan dan kebertanggungjawaban.

Menurut mereka, rakyat berhak mengetahui sebab sebenar di sebalik pewujudan 10 jawatan baharu itu memandangkan kerajaan negeri sebelum ini berfungsi dengan struktur pentadbiran yang disokong oleh penjawat awam, agensi pelaksana dan pegawai khas di bawah setiap portfolio.

“Sekiranya benar wujud kekangan kapasiti sehingga memerlukan satu lapisan baharu dalam struktur pentadbiran, apakah bukti empirikal yang menyokong dakwaan tersebut?,” menurut kenyataan itu.

PH Johor turut mempersoalkan perbezaan fungsi antara Timbalan Exco dengan Exco sedia ada serta bagaimana pembahagian tanggungjawab itu dapat meningkatkan kecekapan pentadbiran tanpa mewujudkan pertindihan tugas, kekeliruan kuasa atau birokrasi yang lebih panjang.

Mereka juga meminta kerajaan negeri menjelaskan implikasi kewangan pelantikan tersebut, termasuk kos elaun, kemudahan pentadbiran, kakitangan sokongan serta perbelanjaan operasi, selain nilai dasar yang dijangka dapat dinikmati rakyat hasil pewujudan jawatan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, sekiranya pelantikan Timbalan Exco bertujuan melatih kepimpinan baharu atau mengagihkan beban portfolio, perkara itu perlu diterangkan secara terbuka bersama petunjuk prestasi utama (KPI) yang boleh diukur.

“Reformasi pentadbiran tidak boleh dilaksanakan hanya melalui penambahan jawatan, tetapi mesti disertai justifikasi yang kukuh dan mekanisme akauntabiliti yang jelas,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, PH Johor menggesa kerajaan negeri membentangkan secara terbuka rasional pewujudan jawatan Timbalan Exco, skop tugas dan bidang kuasa setiap jawatan, implikasi kewangan keseluruhan serta KPI yang akan digunakan bagi menilai keberkesanan pelantikan tersebut.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Adun Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik; Adun Penggaram, Cik Felicia Poh Rui Ling; Adun Stulang, Encik Andrew Chen; Adun Bentayan, Encik Ng Yak Howe; Adun Senai, Encik Wong Bor Yang; Adun Mengkibol, Cik Chu Poh Yee; Adun Skudai, Cik Kartiyaini Jeyapalan; serta Adun Simpang Jeram, Encik Nazri Abdul Rahman.