Topic followed successfully
Go to BHkuPH tolak pengkhianatan Umno/BN Negeri Sembilan, cubaan jatuhkan Menteri Besar dikesali
PH tolak pengkhianatan Umno/BN Negeri Sembilan, cubaan jatuhkan Menteri Besar dikesali
PH tolak pengkhianatan Umno/BN Negeri Sembilan, cubaan jatuhkan Menteri Besar dikesali
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) meluahkan kekesalan atas tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno/Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar PH, Datuk Seri Aminuddin Harun, baru-baru ini.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil, menyifatkan tindakan itu jelas mencabuli semangat Kerajaan Perpaduan.
“PH menolak keras langkah pengkhianatan Umno/BN Negeri Sembilan yang cuba menjatuhkan dan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri. Lebih-lebih lagi, alasan tindakan 14 Adun itu tiada kaitan dengan prestasi Menteri Besar, Datuk Aminuddin.
“Tindakan ini dilakukan tanpa mempedulikan kebajikan rakyat, malah ketika Kerajaan Perpaduan dan negara berdepan krisis bekalan sejagat, serta sedang berusaha menguruskan ekonomi dan mengurangkan beban rakyat,” katanya dalam kenyataan bertarikh 28 April, lapor Berita Harian Malaysia.
Kenyataan ini menyusul pertemuan Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi membincangkan kemelut tersebut di Putrajaya.
Datuk Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, PH memberi komitmen, seperti yang telah dimaklumkan Datuk Anwar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bahawa pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa.
“PH akan terus bekerjasama dengan kepimpinan kerajaan negeri demi kestabilan ekonomi negeri dan kebajikan rakyat. PH juga akan terus mempertahankan peranan serta fungsi institusi Raja-Raja Melayu,” tegasnya.
Pada 27 April, kesemua 14 Adun Umno dan BN Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Aminuddin, susulan kemelut politik yang berlaku.
Bagaimanapun, Datuk Aminuddin berkata, beliau diperintah oleh Tuanku Muhriz untuk meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri itu.
Sementara itu, Datuk Aminuddin menafikan laporan bahawa beliau sudah melantik barisan Exco baharu bagi mengisi kekosongan empat jawatan yang ditinggalkan Umno dan BN setelah 14 Adun parti itu menarik sokongan.
Beliau menegaskan, poster palsu yang tular itu adalah cubaan mencalar imej kerajaan Negeri Sembilan.
“Mereka sengaja memainkan sentimen perkauman. Ini perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu merosakkan keharmonian rakyat Negeri Sembilan.
“Mohon semua rakyat Negeri Sembilan berwaspada dengan berita atau poster palsu yang tersebar di media sosial.
“Semoga Allah melindungi kita semua daripada fitnah akhir zaman,” katanya.
Datuk Aminuddin pada 27 April lalu memaklumkan empat jawatan Exco yang sebelum ini disandang Adun Umno/BN dianggap kosong selepas kesemua mereka menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan beliau.

