Topic followed successfully
Go to BHkuKrisis Negeri Sembilan: Anwar arah Aminuddin terus bertugas, tegas tiada pembubaran DUN
Krisis Negeri Sembilan: Anwar arah Aminuddin terus bertugas, tegas tiada pembubaran DUN
PM M’sia beri ruang rundingan ikut sistem perundangan unik Negeri Sembilan
Krisis Negeri Sembilan: Anwar arah Aminuddin terus bertugas, tegas tiada pembubaran DUN
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, menjalankan tugas seperti biasa, walaupun Barisan Nasional (BN) memaklumkan sudah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri bersama sokongan Perikatan Nasional (PN).
Datuk Anwar berkata setakat ini, Datuk Aminuddin perlu menjalankan tugasnya seperti dititahkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Ini meskipun 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno/BN mengumumkan telah hilang kepercayaan dan menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Aminuddin, pada 27 April.
Datuk Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), turut menegaskan tidak timbul isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan setakat ini, menyusuli ketegangan politik yang berlaku.
“Setakat ini tidak timbul lagi isu bubar. Yang setakat saya bincang, minta pandangan, nasihat Tuanku (Muhriz), baginda (beliau) minta jalan terus sementara proses yang lain itu dijalankan ikut undang-undang,” katanya, ketika ditemui media dalam satu majlis di Kuala Lumpur pada 28 April, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada masa sama, Datuk Anwar berkata ruang perlu diberikan untuk semua pihak berunding dengan baik membabitkan keputusan yang akan dibuat berdasarkan sistem perundangan Negeri Sembilan.
“Saya tak boleh beri satu tarikh kerana wajar kita beri ruang untuk semua pihak berunding dengan baik kerana keputusan dibuat bagi yang memahami sistem perundangan Negeri Sembilan itu, umpamanya pelantikan Menteri Besar. Itu bersama empat Undang.
“Kalau kita ambil keputusan pelantikan itu dengan empat Undang, pengunduran pun begitu juga. Jadi ia tidak semudah yang dibayangkan,” ujarnya.
Datuk Anwar menegaskan krisis pentadbiran yang berlaku di Negeri Sembilan tidak mewujudkan implikasi lain termasuk menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Pada 27 April, 14 Adun Negeri Sembilan diketuai Pengerusi Umno/BN negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias, mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Datuk Aminuddin daripada PH, atas dakwaan kegagalannya menangani kemelut membabitkan institusi adat dan perlembagaan, sehingga membawa kepada krisis diraja.
Ia menyusuli pengisytiharan empat Undang (pembesar adat atau ketua daerah) di Negeri Sembilan pada 19 April yang menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz daripada takhtanya, kerana didakwa berlaku salah laku.
Kemelut berlarutan apabila Datuk Aminuddin pada 20 April menolak pengisytiharan itu yang disifatkan tidak sah, atas sebab seorang daripada Undang terbabit telah dipecat daripada jawatannya sejak 13 Mei 2025.
Empat Undang berkenaan, iaitu dari Sungai Ujong, Johol, Jelebu dan Rembau kemudian mendesak penyingkiran Datuk Aminuddin kerana didakwa tidak lagi layak menerajui pentadbiran kerajaan negeri dengan campur tangan menolak pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz.
Sementara itu, Presiden Umno, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi jaminan akan menyelesaikan kemelut politik di Negeri Sembilan menerusi saluran politik.
Beliau yang bertemu dengan Datuk Anwar pada 28 April untuk membincangkan isu itu berkata amat penting ketika ini adalah mencari penyelesaian terbaik bagi menentukan kerajaan yang kukuh di Negeri Sembilan supaya dapat terus melayani dan mendepani permasalahan rakyat.
“Saya harap kita ikuti Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan juga peraturan DUN khususnya di Negeri Sembilan.
“Saya akan selesaikan kemelut ini melalui politik dan tidak akan campur dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri ataupun dalam undang-undang adat Negeri Sembilan.
“Itulah sebabnya perbincangan dengan Perdana Menteri itu penting dan masalah politik harus diselesaikan cara politik, bukan dengan kaedah lain,” katanya kepada media Malaysia.
Sementara itu, Datuk Jalaluddin menafikan tindakan 14 Adun Umno menarik balik sokongan itu sebagai strategi politik terancang untuk menumbangkan Menteri Besar atau kerajaan negeri secara ‘tebuk atap’ (cara yang tidak wajar), sebaliknya demi mempertahankan prinsip perjuangan parti dan institusi raja.
Dalam perkembangan sama, Datuk Aminuddin, berkata penangguhan Sidang DUN yang sepatutnya berlangsung dari 27 hingga 29 April, dibuat atas permintaan Adun Umno terbabit, dan beliau tidak menyangka ia membawa kepada penarikan balik sokongan terhadapnya.
