JOHOR BAHRU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan Greater Johor Bahru diminta memberikan respons awal terhadap aduan kritikal dalam tempoh 24 jam, disusuli pemeriksaan tapak dan tindakan pembetulan mengikut keperluan teknikal.

Greater Johor Bahru merujuk kepada empat kawasan Pihak Berkuasa Tempatan di dalam daerah Johor Bahru iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata setiap aduan perlu mempunyai pegawai bertanggungjawab, sasaran tempoh penyelesaian serta pelaporan kemajuan yang jelas.

Menurutnya, keberkesanan pengurusan aduan perlu dinilai berdasarkan masalah yang berjaya diselesaikan, dengan hasil tindakan dimaklumkan semula kepada pengadu.

“Aduan kritikal perlu diberikan respons awal dalam tempoh 24 jam, disusuli pemeriksaan tapak serta tindakan pembetulan mengikut keperluan teknikal.

“Keberkesanan pengurusan aduan mesti diukur melalui masalah yang berjaya diselesaikan dan dimaklumkan kembali kepada pengadu,” katanya dalam kenyataan pada 10 November.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Aduan di Peringkat Greater Johor Bahru bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

Mesyuarat itu bertujuan memperkukuh penyelarasan tindakan dan penyelesaian aduan penduduk di ketiga-tiga kawasan pentadbiran bandar raya berkenaan.

Datuk Jafni berkata mesyuarat itu turut meneliti cadangan mewujudkan pasukan tindak balas PBT bersama pasukan MyAduan Johor bagi mempercepat tindakan di lapangan.

Menurutnya, penyelarasan dengan pusat operasi PBT melalui Pusat Kawalan Operasi Bersepadu Johor Bahru perlu diperkukuh supaya urusan menerima aduan, mengesahkan lokasi, menggerakkan jabatan teknikal dan memantau penyelesaian dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.

Pengarah jabatan serta ahli majlis juga diminta turun padang dan memastikan setiap tindakan susulan diteruskan sehingga selesai.

Pada masa yang sama, beliau mahu pasukan media PBT aktif memantau serta menjawab aduan menerusi saluran rasmi, halaman masyarakat setempat dan ruangan komen media sosial.

Maklumat mengenai tindakan yang diambil perlu tepat, diselaraskan dengan jabatan berkaitan serta disokong bukti sebelum, semasa dan selepas kerja dilaksanakan.

“Rakyat berhak mengetahui perkembangan aduan mereka dan langkah penyelesaian yang sedang diambil,” katanya.

Datuk Jafni berkata kebersihan bandar, penyelenggaraan prasarana, pengurusan saliran dan keselamatan kemudahan awam memerlukan perhatian berterusan supaya pembangunan pesat Greater Johor Bahru turut meningkatkan mutu kehidupan penduduk.

Beliau menekankan bahawa mutu perkhidmatan PBT perlu diterjemahkan kepada perubahan yang dapat dirasai masyarakat di kawasan kediaman dan persekitaran mereka.