‘Piknik Iftar’ tawar berbuka puasa santai tepi tasik di Putrajaya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Piknik Iftar’ tawar berbuka puasa santai tepi tasik di Putrajaya

Mar 2, 2026 | 4:32 PM

‘Piknik Iftar’ tawar berbuka puasa santai tepi tasik di Putrajaya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Malaysia, buka puasa, picnic, santai, Putrajaya, Piknik Iftar
Berbuka puasa sambil menikmati keindahan matahari terbenam di ‘Piknik Iftar’ adalah satu alternatif terbaik dan menjimatkan di Putrajaya. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Bagi warga Lembah Klang dan Putrajaya, berbuka puasa pada Ramadan ini tidak semestinya terhad di restoran, sama ada yang berharga murah atau mewah, mahupun sekadar di rumah. 

Di tepi tasik berhampiran bangunan kerajaan di Putrajaya, tradisi berkelah untuk iftar Ramadan kian popular, menawarkan suasana santai dan inklusif sebagai alternatif meredakan tekanan kos sara hidup yang meningkat.

Kemesraan keluarga serta rakan berkumpul di atas hamparan tikar berlatarbelakangkan keindahan senja, benar-benar menghangatkan suasana Ramadan di tengah kota. 

Selain kawasan lapang, terdapat juga satu tapak istimewa dinamakan ‘Piknik Iftar’ yang terletak di Taman Botani, inisiatif pertama seumpamanya diwujudkan oleh Perbadanan Putrajaya.

Pengendali ‘Piknik Iftar’, Encik Mohd Iqbal Kamaruddin.
Pengendali ‘Piknik Iftar’, Encik Mohd Iqbal Kamaruddin. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Pengendali ‘Piknik Iftar’, Encik Mohd Iqbal Kamaruddin, 37 tahun, berkata acara terbuka ini bukan sahaja menarik perhatian penduduk tempatan, malah memikat ramai pelancong, termasuk dari Singapura, yang ingin merasai sendiri kemanisan iftar umat Islam di Malaysia.

Beliau, yang juga pemilik kafe Gua Juicery, berkata syarikatnya diberi tanggungjawab oleh Perbadanan Putrajaya untuk mengendalikan projek perintis itu yang bermula sejak awal Ramadan lalu.

“Kami uruskan semuanya, daripada tempahan, pengurusan pengunjung dan kebersihan, sehingga program ini tamat sebelum Syawal nanti,” jelasnya ketika ditemui Berita Harian (BH) di tapak ‘Piknik Iftar’.

Encik Mohd Iqbal menerangkan bahawa pengunjung hanya perlu menempah slot secara dalam talian, memilih tarikh dan jumlah kehadiran, agar penganjur dapat mengawal had pengunjung, memastikan suasana di tapak ini kekal selesa dan tidak sesak seperti di kawasan terbuka yang lain.

Menurut beliau, apa yang membezakan ‘Piknik Iftar’ dengan tapak terbuka di tasik lain ialah kebersihan dan keselesaan yang menjadi fokus utama, termasuk kemudahan surau sementara, tandas, kawasan rehat yang selesa dan kemudahan permainan kanak-kanak.

“Kalau kita tengok kanak-kanak boleh sibuk bermain, sementara ibu bapa pula dapat kenalan baru dan peluang berbual, jadi kita dapat cipta satu suasana yang tenang dan menarik untuk keluarga dan rakan-rakan berkumpul untuk iftar,” katanya.

Encik Mohd Iqbal menambah, pengunjung dikenakan bayaran masuk RM12 ($3) bagi dewasa, manakala warga emas dan kanak-kanak hanya RM8.

“Setiap pengunjung akan mendapat tikar berkelah, pilihan pelbagai air minuman tanpa had, manakala tapak acara istimewa dengan meja yang dihias cantik boleh ditempah dengan caj RM50. Semua pengunjung bebas membawa makanan sendiri,” katanya lagi.

Di luar tapak ‘Piknik Iftar’ turut disediakan lebih 10 gerai yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman untuk memudahkan pengunjung.

Pengunjung, Cik Hayati Mohd Sani, 26 tahun.
Pengunjung, Cik Hayati Mohd Sani, 26 tahun. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Sementara itu, Cik Hayati Mohd Sani, 26 tahun, sanggup memandu kira-kira 45 minit dari Damansara, Kuala Lumpur, demi menikmati suasana berbuka puasa yang lebih menyegarkan, ditemani pemandangan indah yang mendamaikan.

“Saya dan rakan-rakan pilih berbuka di sini kerana ada privasi. Jika nak bandingkan dengan kawasan tasik terbuka lain, kita perlu datang awal. Jika lewat, maka terpaksa berebut tempat dengan pengunjung lain. 

“Dengan bayaran RM12 kita sudah pasti dapat tempat untuk berkelah, malah diberikan kemudahan lengkap seperti tikar. Suasana tambah seronok dapat nikmati ciptaan Ilahi termasuk melihat matahari terbenam di tepi tasik,” katanya.

Cik Hazirah Yunos, 40 tahun (kanan, depan) bersama ahli keluarganya berkelah di ‘Piknik Iftar’ Putrajaya.
Cik Hazirah Yunos, 40 tahun (kanan, depan) bersama ahli keluarganya berkelah di ‘Piknik Iftar’ Putrajaya. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Cik Hazirah Yunos, 40 tahun, datang membawa 10 ahli keluarganya untuk berbuka di ‘Piknik Iftar’ dengan membawa bekalan makanan dimasak di rumah, bagi kelainan suasana yang disifatkan lebih berbaloi.

“Kalau nak berbuka di hotel atau restoran kosnya mahal, jadi ini satu pilihan menarik buat kami sekeluarga. Kemudahan juga lengkap dan bersih,” katanya.

Pengunjung ‘Piknik Iftar’, Encik Gan Ming Chiek (kiri sekali), bersama ahli keluarganya dari Kuala Lumpur.
Pengunjung ‘Piknik Iftar’, Encik Gan Ming Chiek (kiri sekali), bersama ahli keluarganya dari Kuala Lumpur. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

‘Piknik Iftar’ turut menarik pengunjung bukan Muslim.

“Saya datang ke sini untuk menikmati suasana taman dan tasik yang indah dan selesa bersama keluarga, tetapi secara tidak langsung dapat merasai kemeriahan iftar bersama pengunjung beragama Islam,” kata Encik Gan Ming Chiek, dari Kuala Lumpur.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg