Topik diikuti
Pergi ke BHkuPilihan Raya Negeri Johor: Mukhriz dakwa pembubaran DUN hanya taktik ‘kabur mata’ rakyat
Pilihan Raya Negeri Johor: Mukhriz dakwa pembubaran DUN hanya taktik ‘kabur mata’ rakyat
Presiden Pejuang dakwa Umno, PH sengaja cipta persepsi tidak sehaluan, namun dijangka kembali kerjasama selepas pilihan raya
Pilihan Raya Negeri Johor: Mukhriz dakwa pembubaran DUN hanya taktik ‘kabur mata’ rakyat
KUALA LUMPUR: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dilihat pembangkang sebagai taktik politik bagi mewujudkan persepsi Umno dan Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai kesepakatan politik.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata sebaliknya kedua-dua pihak dijangka akan kembali bekerjasama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau berkata ramai penyokong Umno dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) masih tidak selesa dengan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua parti berkenaan, namun hakikat kerusi yang ditandingi Umno dan DAP tidak bertindih menunjukkan hubungan politik mereka masih kukuh.
“Walaupun pembubaran DUN Johor kelihatan bertentangan dengan kehendak PH, saya melihat langkah itu hanya bertujuan mengaburi mata rakyat supaya percaya bahawa Umno dan PH tidak sehaluan.
“Apa yang tidak disedari ramai ialah Umno dan DAP tidak bersaing di kerusi yang sama. Ketika kempen mungkin mereka membawa naratif berbeza, namun selepas PRN mereka akan kembali bertaut seperti sebelum ini,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi secara rasmi dibubarkan pada 1 Jun bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Pembubaran itu diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam satu sidang media khas di kediaman rasminya di Saujana, Johor Bahru, pada 1 Jun.
Justeru, Datuk Mukhriz berkata rakyat perlu memahami strategi politik yang dimainkan oleh kedua-dua pihak dan tidak terpengaruh dengan persepsi yang cuba dibentuk sepanjang tempoh kempen.
“Sekiranya rakyat menyedari taktik licik itu, mereka berpeluang menghantar mesej yang jelas melalui peti undi dengan memberikan mandat kepada Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya.
“Rakyat tidak seharusnya ditipu sekali lagi. Jika mereka sedar mengenai taktik ini, maka peluang menghukum Umno dan PH melalui proses demokrasi adalah terbuka,” katanya.
Sementara itu, di Kota Tinggi, Johor, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pembubaran DUN Johor pada 1 Jun bagi memberi laluan kepada PRN Johor ke-16, disifatkan tepat pada masanya.
Beliau berkata ini kerana PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari itu tidak bertembung dengan musim tengkujuh dan perayaan.
“Johor yang hanya tinggal beberapa bulan lagi sebelum tamat penggal patutnya buat PRN pada April (2027, apabila tamat tempoh penggal).
“Kita tahu November, Disember, Januari hujan kan? Banjir di Kota Tinggi ini memang itu (selalu berlaku) dan di tempat-tempat lain, maka sudah tentu tak boleh.
“Masuk pula Februari, Mac pula sudah Raya. Lepas itu, Johor ini Raya panjang. Jadi, bila nak buat? Kalau beliau (Datuk Onn) rasakan ini sesuai, buatlah. Apa masalahnya? Serah mandat balik pada rakyat,” katanya, yang juga Menteri Pertahanan.
