Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor seperti diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pada 1 Jun, membuka laluan kepada mandat baru daripada rakyat, dengan parti politik utama bersiap sedia untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

Ketika ini, Umno/Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan masing-masing telah menyatakan tekad bertanding di semua 56 kerusi DUN Johor, manakala pakatan pembangkang, Perikatan Nasional (PN), turut mengesahkan perkara sama.

Penganalisis politik melihat pembubaran DUN Johor pada waktu ini – lebih awal dari tempoh tamat penggal pentadbiran pada April 2027 – sebagai langkah tepat dari sudut strategi politik, namun, tetap membawa risiko tersendiri kepada kerajaan negeri dan BN.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata dari sudut politik, kerajaan Johor berada dalam kedudukan agak stabil selepas memerintah sejak PRN 2022 dan masih mempunyai majoriti yang selesa.

Beliau berkata keadaan ekonomi negeri yang menunjukkan perkembangan positif termasuk beberapa projek pelaburan besar di Johor, selain ketegangan kerjasama politik dalam PN dan PH menjadikan waktu ini dilihat masa terbaik untuk kerajaan BN mendapatkan mandat baru sebelum berlaku sebarang perubahan sentimen pengundi.

“Ketika hubungan dalaman PH, selain PAS (Parti Islam SeMalaysia) dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dilihat berdepan beberapa cabaran dalaman serta perbezaan strategi di beberapa negeri, BN mungkin melihat peluang untuk mengambil kesempatan daripada sebarang perpecahan undi pembangkang.

“Dalam politik, parti yang memanggil pilihan raya lazimnya akan memilih masa yang dianggap paling menguntungkan kepada mereka,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Bagaimanapun, beliau tidak menolak wujud risiko apabila pembangkang mungkin memanfaatkan isu semasa termasuk kos sara hidup serta keadaan ekonomi rakyat sekiranya ia menjadi tumpuan utama kempen.

“Walaupun kerajaan negeri mempunyai majoriti stabil, keputusan membubarkan DUN ketika masih berbaki sekitar setahun mandat turut boleh dipersoalkan dari sudut keperluan politik yang boleh,” katanya.

Pandangan sama dizahirkan Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan, yang melihat pembubaran DUN Johor bukanlah satu tindakan yang rasional ketika BN dan Umno Johor berdiri kukuh dan tidak digugat oleh blok pembangkang.

“Kerajaan BN di Johor bukan seperti Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan yang membentuk kerajaan melalui pelbagai gabungan parti dan jika salah satunya menarik sokongan, maka ia memberikan kesan dan membawa kepada undi tidak percaya dan sebagainya sebagaimana berlaku baru-baru ini,” katanya kepada BH.

Mengulas perkembangan PRN Johor, Dr Mohammad Tawfik berkata ia dijangka menjadi ujian awal kekuatan parti utama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), selain dilihat sebagai ‘mini PRU16’ yang mencerminkan hala tuju politik nasional.

Antara perkara utama yang akan menjadi tumpuan ialah tahap penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Datuk Onn Hafiz dan BN, keupayaan BN mempertahankan dominasi di Johor, serta kesan hubungan antara BN dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan.

Turut menjadi perhatian ialah dinamik dalam blok pembangkang khususnya PN yang berdepan cabaran dalaman antara PAS dengan Bersatu, selain persaingan di kawasan bandar dan separa bandar yang sering menjadi penentu perubahan sokongan pengundi.

Beliau turut menekankan peranan pengundi muda dan Undi 18 yang dijangka memberi kesan besar kepada keputusan di beberapa kerusi marginal.

Dr Ariff Aizuddin pula berkata selain persaingan politik yang membabitkan BN, PH dan PN, turut dinantikan ialah penyertaan parti Bersama di bawah kepimpinan mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli, yang akan menjadikan persaingan itu lebih menarik.

Dalam pada itu, kededua pengamat turut meramalkan BN berpotensi mengulangi kemenangan dalam PRN kali ini dan mengekalkan status quo, berdasarkan kelebihan sebagai kerajaan penyandang serta kekuatan jentera Umno-BN di Johor.

BN sebelum ini memenangi 40 daripada 56 kerusi pada PRN Johor 2022, sekali gus memberi asas kukuh untuk mempertahankan kuasa.

Gabungan politik PH pula memenangi 12 kerusi, manakala PN memenangi tiga kerusi, sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memperoleh satu kerusi.