Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pilihan raya Sabah kerjasama rumit bagi PH-BN-GRS

Pengamat jangka pengundi kekal utamakan calon tempatan
Sep 15, 2025 | 5:30 AM
Pakatan Harapan, Gabungan Rakyat Sabah, Barisan Nasional, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Hajiji Noor, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), yang juga Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), memutuskan bekerjasama dengan blok politik, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang diketuai Datuk Seri Hajiji Noor (kanan), yang juga Ketua Menteri Sabah. Bagaimanapun Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri), menolak kerjasama dengan GRS pada Pilihan Raya Sabah ke-17 tidak lama lagi. - Foto BERNAMA

Sabah akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat, iaitu sebelum akhir 2025, dengan ramai menjangkakan ia bakal berlangsung paling awal Oktober ini.

Spekulasi pula tersebar baru-baru ini bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga pengasas serta Pengerusi blok politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dijangka mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 19 September. 

Semakin hampir PRN Sabah, semakin banyak drama dan plot muncul yang memeriahkan lagi warna dunia politik Malaysia yang memang tidak pernah sunyi dengan pelbagai kisah luar jangka parti politiknya.

Melihat kepada perkembangan semasa, PRN Sabah yang bakal berlangsung tidak lama lagi, dijangka menjadi medan ujian paling kompleks buat parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Ini berasaskan dinamik kerjasama antara blok politik yang telah diumumkan baru-baru ini.

Pertama, Perdana Menteri Malaysia yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan keputusan gabungan politik itu untuk bekerjasama dengan GRS dalam PRN Sabah kali ini.

Ini sekali gus dilihat bakal membantu PH menyesuaikan diri dengan realiti politik Sabah yang lebih mengutamakan parti tempatan.

Namun, keputusan PH itu tidak selari dengan pendirian Barisan Nasional (BN) – sekutu politik PH yang membentuk Kerajaan Persekutuan.

BN-Umno menerusi Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa parti itu hanya bersedia bekerjasama dengan PH, tetapi menolak GRS pada PRN Sabah kali ini.

BN yang sudah bertapak di Sabah sejak 34 tahun lalu pernah menjadi parti dominan di negeri itu dan mentadbir negeri Borneo tersebut sejak 1994 hingga 2018.

Tsunami politik pada 2018 menyaksikan BN turut hilang kepercayaan rakyat dan tampuk kuasa beralih kepada Parti Warisan, yang diasaskan oleh mantan ahli kanan Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.

Percanggahan kerjasama politik bagi PRN Sabah 2025 itu menimbulkan persoalan mengenai strategi politik di peringkat negeri dan keutuhan hubungan antara parti di dalam Kerajaan Persekutuan.

Ia lebih tegang apabila Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menegaskan partinya menolak kerjasama dengan GRS atas alasan enggan ditipu buat kesekian kalinya oleh GRS atau tunduk kepada tipu daya dan politik gila kuasa. 

Datuk Bung merujuk kepada apa yang didakwanya sebagai pembohongan oleh Datuk Hajiji mengenai jawatan menteri di Sabah dengan menukarkannya kepada jawatan lain tanpa pengetahuannya.

Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Sains Politik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Ariff Aizuddin Azlan.
Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Sains Politik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Ariff Aizuddin Azlan. - Foto ihsan DR ARIFF AIZUDDIN AZLAN

Penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan, menyifatkan dinamik itu di peringkat awalnya berpotensi mencetuskan konflik, sekali gus membuka ruang kepada pertindihan kerusi dalam PRN Sabah kelak.

“Hubungan ketiga-tiga blok ini agak kritikal kerana wujud ketidakserasian antara GRS dengan Umno.

“Saya menjangkakan pertindihan kerusi sukar dielakkan kerana tidak mungkin wujud formula tunggal yang memuaskan semua pihak,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Pandangan sama dikongsi pengamat politik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Romzi Ationg, bahawa pengundi mungkin keliru tentang siapakah yang perlu disokong dan isu pembahagian kerusi boleh menjadi kunci kepada masalah lebih besar. 

Pengamat politik yang juga Pensyarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Dr Romzi Ationg.
Pengamat politik yang juga Pensyarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Dr Romzi Ationg. - Foto ihsan DR ROMZI ATONG

Beliau juga melihat keadaan itu sebagai cerminan keretakan strategi gabungan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri Sabah.

“Ada kemungkinan akan berlaku kerajaan gabungan pascapilihan raya seperti Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan ketika ini,” katanya kepada BH. 

Malah, Profesor Dr Romzi juga tidak menolak itu akan membuka ruang risiko beralih sokongan dan kerajaan yang goyah pasca-PRN Sabah nanti.

Ditanya mengenai potensi blok pembangkang, khususnya Perikatan Nasional (PN) dan Parti Warisan, Dr Ariff menjelaskan bahawa peluang mereka mencipta kejutan adalah tipis.

Menurutnya, naratif pentadbiran masih dikuasai parti kerajaan, manakala pembangkang perlu membawa isu penting dan utama bagi menyaingi dominasi semasa.

Mengulas tentang kecenderungan pengundi Sabah, beliau berkata faktor tempatan tetap menjadi pertimbangan utama.

PH, katanya, masih boleh diterima pengundi sekiranya mengetengahkan calon tempatan yang memahami selok-belok kawasan.

“Jenama tempatan sememangnya pilihan. Walaupun PH acuan politik Semenanjung, mereka boleh menambat hati pengundi dengan menampilkan calon Sabah yang benar-benar dekat dengan rakyat,” jelasnya.

Mengenai keputusan BN menolak kerjasama dengan GRS, Dr Ariff melihat langkah itu sebagai risiko yang boleh memakan diri sendiri.

“Walaupun BN mungkin mahu menonjolkan imej tersendiri, namun itu bukan pendekatan bernas.

“Dalam konteks persaingan kini, BN memerlukan rakan baru untuk kembali mengukuhkan kedudukan mereka di Sabah,” katanya.

Beliau turut menambah, pengundi baru di Sabah cenderung memilih parti tempatan kerana dianggap lebih dekat dengan kepentingan rakyat, selain mudah dipengaruhi isu asas seperti peluang pekerjaan, ekonomi tempatan dan kemudahan prasarana.

Bagi isu semasa yang hangat dijadikan peluru politik oleh pembangkang seperti kematian pelajar yang didakwa mangsa buli, Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, pada Julai lalu, dan skandal perlombongan di Sabah, Dr Ariff berpandangan ia tidak cukup kuat untuk menjejas sokongan kepada GRS kerana dianggap sebagai kes terpencil.

Mengulas prospek kerjasama PH bersama GRS pula, Dr Ariff berkata ia tidak menjadi masalah besar, namun bakal memberi kesan langsung kepada hubungan PH dengan BN di peringkat Persekutuan.

“Masalah ini mungkin muncul dalam bentuk pertembungan calon dan perpecahan sokongan di akar umbi,” katanya.

Profesor Dr Romzi pula menyuarakan kebimbangan bahawa kemungkinan keputusan PRN Sabah kelak bakal menyaksikan tiada blok politik yang menguasai kemenangan.

“Ramai berpendapat bahawa sukar untuk mana-mana parti mendapat jumlah kerusi dimenangi yang membolehkan parti itu membentuk kerajaan. 

“Semestinya perkembangan ini menunjukkan kemungkinan boleh berlaku kerajaan yang goyah dan drama peralihan sokongan antara parti politik yang akan berisiko membawa masalah lanjut dalam politik Sabah,” terangnya.

“Jenama tempatan sememangnya pilihan. Walaupun PH (Pakatan Harapan) acuan politik Semenanjung, mereka boleh menambat hati pengundi dengan menampilkan calon Sabah yang benar-benar dekat dengan rakyat.”
Profesor Dr Ariff Aizuddin Azlan, penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Sains Politik di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Ramai berpendapat bahawa sukar untuk mana-mana parti mendapat jumlah kerusi dimenangi yang membolehkan parti itu membentuk kerajaan.  Semestinya perkembangan ini menunjukkan kemungkinan boleh berlaku kerajaan yang goyah dan drama peralihan sokongan antara parti politik yang akan berisiko membawa masalah lanjut dalam politik Sabah.”
Profesor Madya Dr Romzi Ationg, pengamat politik yang juga Pensyarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg