Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PRN Sabah: BN tak kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah

Sep 5, 2025 | 1:14 PM
Umno, Sabah, kerjasama
Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (duduk, tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik Umno Sabah di Kota Kinabalu, Sabah, pada malam 4 September. - Foto UMNO SABAH

KOTA KINABALU (Sabah): Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan keputusan muktamad bahawa BN dan Umno Sabah tidak akan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.

Datuk Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata sebaliknya parti berkenaan memutuskan hanya akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya berkenaan.

“Setelah meneliti semua fakta dan butiran daripada perbincangan tiga pihak sebelum ini, saya telah menyampaikan keputusan kepimpinan Umno bahawa kami mengekalkan kerjasama BN-PH.

“Namun, BN Sabah dan Umno Sabah memutuskan secara muktamad bahawa tidak akan ada kerjasama dengan GRS,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Biro Politik Umno Sabah, di Kota Kinabalu, Sabah, pada malam 4 September.

Datuk Ahmad Zahid menghadiri mesyuarat Biro Politik Umno Sabah di Bangunan Umno Sabah untuk memaklumkan mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan pemimpin GRS baru-baru ini.

Beliau berkata pertemuan kepimpinan dalam Kerajaan Perpaduan yang terbabit dalam PRN17 Sabah itu diadakan di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Katanya, Datuk Anwar mempengerusikan mesyuarat itu selaku Pengerusi Kerajaan Perpaduan, dan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, bersama pemimpin parti gabungan GRS, pemimpin parti gabungan PH dan pemimpin Umno.

Dalam perbincangan itu, Datuk Ahmad Zahid berkata Datuk Anwar menyatakan supaya seboleh mungkin dielakkan pertandingan tiga penjuru atau pertindihan kerusi yang akan dimuktamadkan.

Berikutan itu, Datuk Ahmad Zahid berkata mereka bersetuju membentuk jawatankuasa teknikal yang mewakili GRS, BN serta PH dengan beberapa siri rundingan dilakukan sama ada di Kota Kinabalu atau Kuala Lumpur.

“Maka, merujuk kepada perbincangan yang telah diadakan tadi (3 September), saya bersama rakan kepimpinan Umno telah menyampaikan keputusan kepada Ahli Jawatankuasa Biro Politik Umno Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata keputusan berkenaan sememangnya dialu-alukan oleh kepimpinan BN dan Umno negeri.

“Insya-Allah, kami akan menggerakkan seluruh jentera untuk memastikan calon BN akan memenangi kerusi ditandingi pada PRN Sabah nanti.

“Kami cukup yakin dengan kerja keras yang telah diusahakan selama bertahun-tahun ini dan dengan kebolehan jentera kami bawah sistem dan struktur parti yang kukuh.

“Kami percaya Umno-BN akan dapat meletakkan diri sebagai parti dominan selepas pilihan raya nanti,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan (Sabah).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg