Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pinjaman bank biaya majlis kahwin jerat pasangan berhutang di M’sia

Oct 22, 2025 | 11:34 AM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto ISTOCKPHOTO

KUALA LUMPUR: Hampir separuh daripada pasangan yang ingin berkahwin di Malaysia terpaksa membuat pinjaman bank bagi membiayai majlis perkahwinan sehingga menjerat mereka ke dalam masalah kewangan.

Berdasarkan kajian bukti konsep (POC) dijalankan Future Studies Berhad (The Future), mendapati sebanyak 45.8 peratus daripada responden mengakui terpaksa mengambil pinjaman bagi tujuan itu dengan jumlah perbelanjaan perkahwinan kebanyakannya dalam lingkungan RM20,001 ($6,138) hingga RM40,000.

Ketua Ekonomi The Future, Dr Mohd Yusof Saari, berkata pinjaman peribadi adalah sumber pembiayaan utama dengan 58.8 peratus responden memilih untuk menggunakan kaedah terbabit.

“Ia diikuti kad kredit dan pilihan ‘beli sekarang, bayar kemudian’, masing-masing 16.6 peratus, yang menunjukkan kebergantungan kepada kemudahan kredit jangka pendek.

“Lebih separuh iaitu 54.5 peratus daripada peminjam menghadapi tempoh bayaran balik melebihi lima tahun, menggambarkan tekanan kewangan jangka panjang yang dikaitkan dengan hutang berkaitan perkahwinan,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

Pada masa sama, Dr Mohd Yusof berkata lebih separuh atau 54.5 peratus responden memperuntukkan antara 10 hingga 20 peratus daripada pendapatan bulanan mereka untuk bayaran balik pinjaman perkahwinan.

Beliau berkata ia sekali gus menunjukkan komitmen kewangan yang ketara dalam kalangan pasangan muda ini.

Katanya, walaupun 72.7 peratus masih berada di landasan betul dalam membuat bayaran balik, lebih suku atau 27.3 peratus mengalami tunggakan.

“Ia sekali gus menandakan tekanan kewangan yang mula dirasai dalam kalangan peminjam,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan sejumlah 10,815 kes perceraian pasangan Islam direkodkan di Selangor dalam tempoh Januari hingga September lalu dengan faktor utama adalah isu kewangan dan masalah komunikasi.

Media juga pernah melaporkan Profesor Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Dr Nik Maheran Nik Muhammad, mendedahkan inflasi, peningkatan kos dewan dan katering, serta jangkaan masyarakat menyebabkan perbelanjaan sesuatu majlis perkahwinan melonjak antara RM50,000 dengan RM200,000.

Datuk Nik Maheran dilaporkan berkata perbelanjaan perkahwinan di Malaysia antara tertinggi di Asean dengan kos purata antara RM50,000 hingga RM200,000, berbanding di Kemboja dan Filipina jauh lebih berpatutan, dengan masing-masing purata sekitar AS$15,000 ($19,471/RM63,442) dan AS$4,800.

Dr Mohd Yusof berkata 63.6 peratus responden mengakui kos keseluruhan perkahwinan yang mereka perlukan ialah sebanyak RM20,001 hingga RM40,000; 27.3 peratus (RM40,001 hingga RM60,000) dan 9.1 peratus (kurang daripada RM20,000).

Katanya, sebanyak 54.5 peratus terpaksa membuat pinjaman sebanyak RM10,001 hingga RM20,000; 36.4 peratus (RM20,001 hingga RM50,000) dan 9.1 peratus (kurang daripada RM10,000).

“Sebanyak 63.6 peratus membayar ansuran pinjaman berjumlah antara RM501 hingga RM1,000 sebulan menunjukkan mereka terpaksa memperuntukkan jumlah besar bagi tujuan itu setiap bulan.

“Sementara 36.4 peratus pula membayar ansurans bulanan pinjaman di bawah RM500,” katanya.

Walaupun 72.7 peratus masih berada di landasan betul dalam membuat bayaran balik, lebih daripada suku (27.3 peratus) berada dalam tunggakan, menunjukkan tekanan kewangan mula timbul dalam kalangan peminjam.

Justeru, beliau mencadangkan modul celik kewangan dalam kursus praperkahwinan disemak semula untuk memasukkan perancangan kewangan praktikal, hutang pengurusan dan bimbingan peminjaman yang bertanggungjawab untuk pasangan bakal berkahwin tidak lama lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg