Topic followed successfully
Go to BHkuPKR di puncak kuasa, mantan pemimpin bimbang idealisme mula terhakis
PKR di puncak kuasa, mantan pemimpin bimbang idealisme mula terhakis
Nik Nazmi ajak anggota parti fikir semula perjuangan, agenda reformasi kerana PKR bukan sahaja parti kerajaan tapi parti PM M’sia
PKR di puncak kuasa, mantan pemimpin bimbang idealisme mula terhakis
KUALA LUMPUR: Parti Keadilah Rakyat (PKR) diingatkan supaya ‘tidak terbabas’, sebaliknya terus berpegang kepada idealisme perjuangan reformasi, meskipun kini berada di puncak kuasa.
Ahli Parlimen Setiawangsa (Kuala Lumpur), yang juga mantan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, melontarkan peringatan itu selepas mempersoalkan hala tuju agenda reformasi selepas PKR kini bukan sahaja bergelar parti kerajaan, malah parti Perdana Menteri.
Menerusi hantaran di Facebook pada 5 April, Nik Nazmi mengajak seluruh anggota parti itu untuk berfikir semula berkenaan perjuangan dan agenda reformasi serta cara parti itu menangani kritikan.
“Adakah ia berbeza atau dua kali lima sahaja dengan cara pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dalam menangani kritikan?
“Adakah kita masih menarik mereka yang sarat dengan idealisme atau hanya yang bercita-cita memegang kuasa semata-mata?
“Adakah kita lebih gemar mencari alasan melengah-lengahkan perubahan atau mencari jalan untuk melaksanakannya sedaya-upaya kita?” soalnya, lapor MalaysiaGazette.
Mengimbau perjalanan PKR, Nik Nazmi berkata pada 4 April lalu, genap 27 tahun penubuhan Parti Keadilan Nasional (PKN), yang kemudian bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia untuk membentuk PKR.
“Pada waktu itu, PKN merupakan parti derita yang lahir di jalanan dan hanya mempunyai harapan serta idealisme sebagai wadah memperjuangkan agenda reformasi dan politik pelbagai kaum.
“Tidak seperti lahirnya parti baharu lain, PKN tidak menarik menteri atau pimpinan kanan kerajaan, tetapi masyarakat sivil dan rakyat biasa mendokongnya.
“Saya pelajar sekolah menengah lima juga teruja dan dua tahun kemudian membantu parti yang dilihat parti nyamuk tanpa masa hadapan.
“Sepanjang lebih 20 tahun, parti ini melawan rasuah, memperjuangkan idealisme keadilan untuk semua dan mendokong prinsip reformasi,” katanya, yang turut berkongsi beberapa foto lama termasuk ketika ditahan pihak berkuasa ketika era reformasi jalanan.
Mantan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu menjelaskan memang mudah untuk orang menyertai parti ketika berada di puncak kuasa kerana pelbagai jawatan dan kesenangan yang boleh ditawarkan.
“Keikhlasan sebenar hanya teruji sewaktu parti berdepan tekanan dan habuan cumalah perjuangan idealisme semata-mata.
“Ketika parti ditekan pemerintah, ketika pimpinan parti keluar masuk lokap, ketika habuan cumalah perjuangan idealisme; pada ketika inilah mereka yang benar-benar ikhlas datang menghulurkan tangan kepada parti,” katanya.
PKR menyambut ulang tahun ke 27 pada 4 April lalu dan kini menjadi parti pemerintah dengan Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diangkat sebagai Perdana Menteri.

