Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Setiausaha Agung PKR sahkan keputusan pemilihan cabang yang dipertikai

May 5, 2025 | 3:06 PM
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat Dr Fuziah Salleh.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat Dr Fuziah Salleh. - Foto BERNAMA

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Fuziah Salleh, mengesahkan bahawa Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu memutuskan untuk mengesahkan keputusan pemilihan peringkat cabang yang dipertikaikan

Dr Fuziah berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MPP 4 Mei malam namun tidak menjelaskan bagaimana keputusan itu dicapai.

Sumber dalaman parti itu memberitahu Malaysiakini dalam mesyuarat selama satu jam itu, juruaudit antarabangsa yang dilantik untuk menyemak keputusan pemilihan telah memberi taklimat kepada MPP menerusi sidang video.

Sumber itu mendakwa tiada sebarang bantahan dikemukakan terhadap keputusan untuk menerima keputusan pemilihan cabang dan bergerak ke depan.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli – yang mana kemnya tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan cabang – turut hadir.

Sebelum ini, khabar angin tersebar bahawa rasa tidak puas hati terhadap keputusan pemilihan, yang dilihat mempunyai keputusan luar jangka, mendorong Datuk Rafizi mempertimbang untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi.

Walaupun beliau menang sebagai ketua Cabang Pandan, calon lain yang mengalami kekalahan mengejut termasuk Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Pemuda, Encik Adam Adli Abd Halim, serta ahli MPP, Encik Akmal Nasrullah Nasir, Encik Fahmi Zainol, Encik Lee Chean Chung dan Cik Rodziah Ismail.

Keputusan malam tadi membuka laluan untuk PKR meneruskan pemilihan peringkat pusat, yang mana Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan jawatannya sebagai presiden tanpa dicabar untuk penggal terakhirnya.

Timbul spekulasi Datuk Rafizi bakal berdepan saingan bagi jawatan timbalan presiden.

Proses pencalonan akan dibuka pada 8 dan 9 Mei manakala pengundian dijadualkan diadakan pada 23 Mei.

PKR kembali menggunakan sistem perwakilan untuk pemilihan peringkat pusat kali ini, selepas 15 tahun bereksperimen dengan sistem satu ahli satu undi.

Perubahan ini mungkin memberi kesan kepada prestasi kem Datuk Rafizi dalam pemilihan memandangkan perwakilan ditentukan di peringkat cabang.

Sementara itu, pemimpin kanan PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau akan mengumumkan pada saat akhir sama ada akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti kali ini, lapor Berita Harian Malaysia.

Selain itu, beliau memaklumkan telah mengadakan perbincangan dengan penyandang jawatan berkenaan, Datuk Rafizi, selain berjumpa Presiden PKR, Datuk Anwar.

Datuk Saifuddin menjelaskan, beliau masih mempunyai masa berikutan tempoh pencalonan untuk Pemilihan PKR 2025 dianjakkan ke minggu depan.

“Saya orang lama dan merasakan lebih banyak kalah daripada menang. Sebelum satu keputusan besar dibuat, saya bukan memikirkan soal menang atau kalah dalam parti, sebaliknya mahu melihat proses pemilihan berakhir dengan parti terus kuat dan mantap serta mampu menambah bilangan kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

“Perkara ini yang lebih menjadi keutamaan kepada saya. Sekarang, kita ada 31 kerusi dan mahu menambah lagi bilangan kerusi untuk memantapkan PH (Pakatan Harapan),” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg