Topik diikuti
Pergi ke BHkuPKR sudah hilang 3 kerusi Parlimen, AP Subang yang terbaru letak jawatan
Dijangka tambah tekanan terhadap Anwar, kestabilan PKR
Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kehilangan kerusi Parlimen ketiganya dalam tempoh kurang tiga bulan, selepas Ahli Parlimen (MP) Subang, Encik Wong Chen, secara rasmi meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi berkenaan.
Peletakan jawatan Encik Wong telah disahkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 11 Ogos, dan dijangka menambah tekanan terhadap Datuk Anwar dan kestabilan PKR, terutama menjelang siri pilihan raya akan datang.
Encik Wong yang sudah dua penggal menjadi AP Subang merupakan antara yang cenderung menyokong dan rapat dengan kem mantan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Dalam surat yang dialamatkan kepada Tan Sri Johari pada 5 Ogos lalu, Encik Wong berkata beliau meletakkan jawatan sebagai AP Subang secara sukarela, dan mengesahkan peletakan jawatan itu berkuat kuasa pada 10 Ogos.
Pada Persidangan Khas Parlimen bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) pada 11 Ogos, Tan Sri Johari mengesahkan sudah memaklumkan kekosongan kerusi Parlimen Subang itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Seperti mana Yang Berhormat sedia maklum, Yang Berhormat bagi kawasan Subang, Encik Wong Chen telah menghantar surat kepada saya, untuk melepaskan keahlian beliau sebagai ahli Dewan Rakyat berkuat kuasa 10 Ogos.
“Saya telah maklumkan kepada SPR mengenai kekosongan kerusi AP Subang selaras perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Encik Wong adalah antara lima AP PKR yang sebelum ini menyuarakan rasa kecewa berhubung tindakan Kerajaan Persekutuan menyekat akses kepada portal MyKhas, yang digunakan bagi menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.
Empat lagi AP lain yang terkesan ialah AP Ampang, Cik Rodziah Ismail; AP Wangsa Maju, Encik Zahir Hassan; AP Petaling Jaya, Encik Lee Chean Chung dan AP Sungai Siput, Encik S Kesavan.
Mereka juga antara yang menggesa kerajaan mendedahkan dapatan siasatan jawatankuasa khas yang menjalankan siasatan terhadap kes pemilikan saham mantan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Sebelum ini pada Mei lalu, Datuk Rafizi dan mantan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengumumkan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing, meninggalkan PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Datuk Rafizi melepaskan jawatan AP Pandan, manakala Nik Nazmi bagi jawatan AP Setiawangsa. Kededua mereka terlebih dulu meletakkan jawatan Menteri Ekonomi (Datuk Rafizi) dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Nik Nazmi) pada Jun dan Julai 2025.
Peletakan jawatan Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan itu dibuat selepas kededua mereka tewas dalam pemilihan pucuk pimpinan parti pada Mei 2025.
Datuk Rafizi gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden yang dimenangi puteri sulung Datuk Anwar, Cik Nurul Izzah, yang sebelum itu memegang jawatan Naib Presiden, sementara Nik Nazmi tewas dalam mempertahankan jawatan Naib Presiden.
Bagaimanapun, Cik Nurul Izzah pada 6 Ogos lalu mengumumkan melepaskan jawatan Timbalan Presiden yang disandangnya sejak 23 Mei 2025, bagi membolehkannya mengorak langkah baharu di luar bidang politik, termasuk meneruskan pengajian lanjutan.
