KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 sebagai tanda menghormati semangat kerjasama serta muafakat politik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kerajaan Persekutuan.

Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan bersama tiga pemimpin parti iaitu Penasihat PKR Sarawak, Datuk Seri Hafsah Harun; Naib Presiden PKR Pusat, Encik Roland Engan; dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak, Encik Mahmud Epah.

“Pertimbangan utama yang mendasari pendirian ini adalah sebagai tanda menghormati semangat kerjasama, muafakat serta komitmen politik dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Ini bagi memelihara kestabilan politik pada peringkat negeri dan Persekutuan,” ujar kenyataan itu, lapor Berita Harian Malaysia.

Pendirian itu turut bertujuan memperkukuhkan hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak, khususnya dalam melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pada masa sama, keputusan berkenaan juga bagi memastikan agenda pembangunan, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sarawak terus diberikan perhatian.

Selain itu, PKR Sarawak menyatakan komitmen untuk terus menjunjung prinsip demokrasi, agenda reformasi dan keadilan sosial, selain mengutamakan kesejahteraan rakyat, serta mengekalkan persefahaman politik yang telah dibina bersama GPS.

Sehubungan itu, MPN PKR Sarawak mengarahkan seluruh jentera dan pimpinan parti pada semua peringkat di negeri ini supaya mematuhi serta menghormati ketetapan berkenaan.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Mereka juga diminta terus menjaga hubungan baik dengan rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya GPS.

“PKR Sarawak akan terus melaksanakan tanggungjawab serta khidmat bakti kepada rakyat Sarawak tanpa mengabaikan peranannya di negeri ini,” tambah kenyataan bersama itu.

PKR merupakan salah satu komponen blok politik Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13, manakala hari penamaan calon pada 28 November ini dan pengundian awal pada 8 Disember.

Terdahulu, DAP Sarawak mengumumkan dua penyandang, Ahli Parlimen dan bekas pegawai kanan polis antara sembilan calon parti itu yang akan bertanding pada Ke-13, setakat ini.

Pengerusi DAP Sarawak, Encik Chong Chieng Jen, antara yang akan mempertahankan kerusi Kota Sentosa, manakala Cik Violet Yong, kekal bertanding di Pending.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti