MANILA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinannya kekal stabil dan memberi tumpuan penuh kepada pelaksanaan dasar serta tanggungjawab terhadap rakyat, bukannya melayan spekulasi mengenai rombakan Kabinet.

Beliau berkata tiada keperluan mendesak untuk merombak barisan Jemaah Menteri ketika ini, walaupun timbul pelbagai pandangan, menyusuli peletakan jawatan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Anthony Loke, sebagai Menteri Pengangkutan.

“Sekarang kerajaan stabil, dasar dibincangkan secara menyeluruh dalam Kabinet dan saya bekerja dengan menteri daripada pelbagai parti.

“Kita bekerja, berkongsi, berbincang dan mempunyai pendirian bersama, termasuk dalam isu dua hala, pelbagai hala dan Asean yang sensitif,” kata Datuk Anwar di Manila, Filipina, lapor portal berita, Malaysiakini.

Datuk Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asean ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan dari 15 hingga 17 November, di bawah kepengerusian Filipina, yang bertema, Navigating Our Future, Together (Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama).

Menyentuh mengenai peletakan jawatan Encik Loke, Datuk Anwar berkata beliau menghormati pendirian pemimpin DAP itu yang dibuat atas dasar prinsip, meskipun sebelum ini telah memintanya agar mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

“Beliau (Loke) atas dasar prinsip ini meminta supaya saya terima peletakan jawatan itu, yang belum saya lakukan. Tapi saya hormat pendirian beliau kerana pentingnya hal itu atas dasar prinsip yang dipertahankan.

“Dalam sistem kerajaan campuran di beberapa negara, ini bukan satu keanehan. Bila ada gabungan, kadang-kadang pada peringkat Persekutuan berbeza dengan peringkat negeri,” ujar beliau.

Pada 10 November, Encik Loke mengumumkan peletakan jawatannya dalam Kabinet yang berkuat kuasa serta-merta, menyusuli keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak, menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah yang bermula pada hari berkenaan.

Keputusan itu disifatkan DAP sebagai prinsip parti itu yang memperjuangkan penolakan rasuah, dan tidak dapat menerima pengampunan yang diberikan kepada Encik Najib yang juga bekas Presiden Umno.

Datuk Anwar berkata ruang perbincangan politik sentiasa terbuka, termasuk melalui pertemuan rasmi dan tidak rasmi bersama dengan pemimpin parti serta anggota pentadbiran, bagi menangani sebarang perbezaan pandangan.

Pada masa yang sama, Datuk Anwar menepis dakwaan yang cuba memperbesar-besarkan spekulasi bahawa kononnya berlaku ketidakstabilan dalam kerajaan negara itu, sambil menyifatkannya sekadar agenda kempen politik pihak tertentu.