KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan takziah kepada keluarga mantan Wanita Pertama Singapura, Puan Noor Aishah Mohammad Salim, yang meninggal dunia pada 22 April.
Menerusi satu catatan di Facebook, beliau berkata pemergian Puan Noor Aishah, 91 tahun, yang merupakan balu kepada Presiden pertama Singapura, Allahyarham Encik Yusof Ishak, yang memimpin Singapura dari 1959 hingga 1970, amat mengusik jiwa.
Datuk Anwar berkata Puan Noor Aishah ialah seorang tokoh wanita yang menjadi tunjang kekuatan Singapura pada tahun-tahun pembentukan identiti nasional mereka.
“Puan Noor Aishah tidak sekadar pendamping kepada seorang tokoh dan pemimpin negara, tetapi merupakan ikon kesetiaan dan kemuliaan budi yang menjadi teladan kepada wanita di rantau ini.
“Kesederhanaan beliau ternyata menjambatani hubungan antara pemimpin dengan rakyat terbanyak,” kata Datuk Anwar, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Anwar berkata beliau dan seluruh rakyat Malaysia turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga almarhum.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin,” kata beliau.
Dilahirkan di Pulau Pinang pada 1933, Puan Noor Aishah, pada usia 16 tahun mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Encik Yusof Ishak, yang ketika itu dikenali sebagai seorang wartawan berprinsip dan berjiwa besar
Puan Noor Aishah meninggal dunia di Hospital Besar Singapura pada 4.28 pagi. Allahyarhamha dikebumikan pada 22 April di Tanah Perkuburan Negara Kranji, bersebelahan pusara suaminya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg