Topik diikuti
Pergi ke BHkuPN muktamad calon PRN N. Sembilan: Anak Rais Yatim taruhan Wawasan, Bersatu juang solo
PN muktamad calon PRN N. Sembilan: Anak Rais Yatim taruhan Wawasan, Bersatu juang solo
Bersatu pimpinan Muhyiddin akan gerak sendiri dek ketidaktentuan kedudukan parti dalam gabungan
PN muktamad calon PRN N. Sembilan: Anak Rais Yatim taruhan Wawasan, Bersatu juang solo
Perikatan Nasional (PN) mengumumkan 11 calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada 1 Ogos ini.
Ia sekali gus melengkapkan pembahagian 36 kerusi hasil persefahaman sulung dalam pilihan raya dengan Barisan Nasional (BN), yang sebelum ini mengumumkan 25 calon.
Pengumuman calon PN oleh Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pada malam 16 Julai juga menyaksikan penyertaan sulung parti baru – Parti Wawasan Negara (Wawasan) pimpinan mantan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dalam pilihan raya.
Selepas 11 hari diumumkan secara rasmi sebagai anggota PN pada 6 Julai lalu, Wawasan diperuntukkan empat kerusi untuk ditandingi.
Lima kerusi akan ditandingi calon Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan masing-masing satu calon daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Satu lagi komponen PN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan bertanding secara solo pada PRN Negeri Sembilan, berikutan ketidaktentuan kedudukan parti berkenaan dalam gabungan itu.
Senarai calonnya hanya diumumkan pada malam 17 Julai.
Datuk Ahmad Samsuri berkata gabungan muka lama berpengalaman dan calon baharu untuk PRN Negeri Sembilan itu memberikan kepelbagaian dan kekuatan, terutama sekiranya PN dan BN memenangi pilihan raya dan akan membentuk kerajaan nanti.
Antara calon muka baru PN yang menarik perhatian ialah Encik Danni Rais, 39 tahun, anak kepada tokoh politik veteran, Tan Sri Dr Rais Yatim, yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang di bawah Parlimen Jelebu.
Bapanya, mantan pemimpin Umno dan Bersatu yang kini merupakan Pengerusi Parti Wawasan Negara (Wawasan), pernah menjadi Ahli Parlimen Jelebu selama lebih 25 tahun, Menteri Besar Negeri Sembilan selama empat tahun, selain pernah memegang pelbagai jawatan menteri termasuk Menteri Luar dan Speaker Dewan Negara.
Turut bertanding mewakili Wawasan ialah mantan Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah, bagi DUN Sikamat.
PAS yang akan bertanding lima kerusi pula bakal mempertahankan tiga kerusi DUN sedia ada, selain memperkenalkan dua calon muka baharu termasuk mantan Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Muhammad Rafie Abd Malek.
PRN Negeri Sembilan akan berlangsung pada 1 Ogos ini, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai.
Pilihan raya itu diadakan selepas Menteri Besar dari Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, Datuk Seri Aminuddin Harun, membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN, menyusuli kemelut politik gabungan itu dengan BN yang bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan, sejak April lalu.
